Saturday 5 December 2015

pabila cerpen dibaca

apa perasaan anda yang bergelar penulis jika sekiranya cerpen anda dibaca pembaca? kemudian, dibaca pula di hadapan kelas dengan nada suara yang kuat dan penuh penghayatan, dan anda sebagai penulis turut menyaksikannya?
 
saya pada awalnya terharu berbaur bahagia. lantaran kesudian pelajar saya membaca hasil karya saya. pun, apabila pelajar ini membacanya dengan penuh penghayatan dan dengan semangat bara, malahan akhirnya pelajar ini sendu dan menangis di akhir cerita, saya jua dilanda sebak dan hiba. Allahu akhbar.
 
tanpa saya menduga cerpen yang telah bertahun-tahun lamanya dirangkai, ditulis dengan luahan rasa dan penuh harapan jua agar difahami pembaca, akhirnya benar-benar terjadi situasi demikian rupa. pelajar dari Bacelor Sastera (Bahasa Jerman) dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM itu menangis kala menyudahkan rangkap terakhir cerpen "Orang Berilmu lwn Orang Biadab" yang terdapat dalam Kumpulan Cerpen Catatan cinta Anakanda Bonda.
 
dan ia sesungguhnya mengimbau kenangan lewat pengalaman menyudahkan penulisan cerpen tersebut pada suatu masa. watak-watak antarabangsa muncul dalam minda. latar Eropah khususnya Jerman bermain dalam kepala. musabab itu barangkali cerpen ini disenangi anak muda yang berada di hadapan kelas untuk membaca. ya, saya akui kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen terbabit terhasil lebih awal daripada apa yang dapat ditatap dalam kumpulan cerpen terbabit yang telah menjadi sebuah buku, dan dalam ilustrasi yang menguja. ia sebenarnya bermula daripada pengumpulan saya terhadap sejumlah cerpen-cerpen yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, majalah Tunas Cipta dan pelbagai medium wadah lainnya. usaha menerbitkannya dalam bentuk buku atau kumpulan cerpen apabila tertarik dengan usaha ITBM menerbitkan beberapa buah kumpulan cerpen pada tahun permulaannya menerbitkan manuskrip asli setelah diberi dana yang banyak oleh kerajaan suatu masa. dan kumpulan cerpen saya itu antara kumpulan terawal yang diterima untuk diterbitkan setelah dilakukan penilaian yang saksama. alhamdulillah.
 
pada awal penerbitannya jua saya dirasuk risau dan gulana. bimbang banyak orang tidak boleh menerima hasil karya sebegitu rupa. lantaran rata-rata kumpulan cerpen saya itu mengandungi cerpen-cerpen yang bukan sahaja lain teknik naratifnya, malahan hampir 805 dalam setiap cerpen mengandungi terjemahan ayat-ayat al-Quran atau al-Hadis sebagai sasaran mesej dan perutusan kepada pembaca. malahan ada sesetengah pembaca atau kalangan penulis mapan menggelarkannya "karya khutbah", dan saya hanya berdiam seribu bahasa. ya, siapa saya untuk menyatakan rasa ekoran daripada kesan komentar pembaca? atau siapa saya untuk menyatakan rasa selepas kesan respons pengarang yang merasakan dirinya lebih baik berkarya daripada saya? ya, saya hanya senyum dan sesekali muhasabah seketika pada setiap karya yang telah terhasil dalam diri jua. 
 
pun, syukur apabila karya kecil itu akhirnya dapat menembusi saringan pemilihan untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada tahun 2014 nan lalu dengan pelbagai cerita. Kumpulan Cerpen Catatan Cinta Anakanda Bonda antara 10 buah kumpulan cerpen yang dibawa kepada peringkat akhir untuk dinobatkan sebagai juara. malahan, kumpulan cerpen ini khabarnya dapat memikat juri pada peringkat saringan untuk diangkat menjadi pemenang secara keseluruhannya. pun, barangkali itulah takdirnya. setelah bersaing secara sihat dengan pemilihan yang ketat, kumpulan cerpen ini akur terhadap kumpulan cerpen lainnya. bagi saya mudah sahaja, kalau bukan rezeki setelah diberikan ulasan bersemangat oleh panel penilai dengan alasan itu dan ini, dengan komen itu dan ini yang sesungguhnya juga menjadikan pena saya makin bernyawa.
 
ya, pada awal penerbitan kumpulan cerpen ini tidak pernah terdetik dalam nubari karya ini akan diangkat dan dinobatkan apa-apa. justeru, apabila mengetahui kumpulan cerpen ini terpilih dalam kelompok 10 terbaik dalam finalis HSPM, keterujaan saya juga ternyata. status kalah atau menang sudah tersemat dalam dada. malahan ianya adat dalam pemilihan disebabkan saya pernah duduk dalam barisan panel penilai dengan tugasan menilai karya orang lain untuk diberi kemenangannya. malahan sebagai panel penilai pasti ada kewajaran sesebuah karya itu dipilih dan diberi pengiktirafannya. musabab itu saya jarang dan sifar masuk pertandingan apa-apa karya sastera. apa sahaja yang bernama sayembara, peraduan, anugerah atau pertandingan merupakan suatu perkara yang tidak saya gemar dan berapa suka. lantaran bagi saya sebagai penulis, kerjanya adalah "menulis" tanpa mengaharapkan apa-apa kemenangan atau pengiktirafan buat dirinya. kalau ditakdirkan terpilih atau diangkat orang lain atau dinobat oleh sekelompok panel atau diiktiraf oleh penilai, itu cerita lain tentunya. musababnya, penulis tidak pernah bertanding, hanya sekadar diberi kelayakan atau penilaian semasa. paling bermakna, hasil karya saya dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat dan perutusan saya sampai ke dalam lubuk hati mereka.
 
maka hari ini, apabila cerpen tersebut dibaca oleh sejumlah pelajar yang mengambil kursus Penglahiran Bakat Kreatif di kampus Serdang, saya ternyata bahagia. sementelah kesemua cerpen saya yang dikategorikan sebagai "sukar-berat" itu akhirnya dapat diterima dengan kepuasan oleh anak muda, saya ternyata melebarkan senyuman yang berganda. sekalung terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana memahami apakah mesej atau perutusan yang mahu saya hidangkan pada pembaca.
 
"saya takut saya jadi sedemikian rupa", tampil Noridayu seusai kuliah memberitahu mengapa dia menangis setelah menyudahkan bacaannya.
 
"saya bercita-cita mahu menyambung pengajian dan bergelar "seseorang", sebab itu saya takut nanti bila saya jadi "seseorang", saya lupa diri sebagaimana watak dalam cerpen "orang berilmu lwn orang beradab", perlahan tuturnya dalam nada sebak yang masih bersisa.
 
"bukankah iman ini boleh dibolak balikkan oleh Tuhan?", masih lagi anak muda bersuara.
 
saya merenungnya dengan tajam namun mesra. seolah-olah yang berada di hadapan saya itu "bidadari" yang mahu mempertahankan kelebihan yang dia punya. ya, siapa kita sebagai hamba? siapa kita sebagai manusia punya nafsu serakah dalam jiwa? tetapi sebenarnya kita punya usaha agar diri tidak terpesong daripada landasan yang sewajarnya. ya, berdoalah saban masa. lantaran doa merupakan senjata yang paling ampuh untuk kebaikan manusia. 
 
"saya doakan Ayu menjadi seseorang, dan seiring menjadi Muslimah yang taat pada agama", ujar saya ringkas sebelum kuliah kami bubar pada petang nan damai bahagia. 
 
"doakan saya Dr. Kamariah," masih suaranya bergetar menahan debar yang mengepung dalam dada. 
 
saya mengangguk cuma. dalam hati, ya saya akan mendoakannya lantaran anak muda ini punya semangat nan tinggi, punya cita-cita nan mulia, malahan punya juga penampilan diri dengan sahsiah terpuji yang membuatkan diri saya jua terpesona.
 
pabila cerpen dibaca, yang ianya telah lama ditulis, bagi seseorang pengarang ternyata membawa emosi dengan bauran yang berwarna. dan tentunya pula semangat untuk menulis karya lain makin membara. syukran jazilan Allah al-Latiff al-Fattah al-Hakimm atas segala kurnia.

No comments:

Post a Comment