Friday 4 December 2015

pabila anak-anak bersaing

cuti sekolah sudah bermula. anak-anak bertanya: "kita mahu ke mana, ibu?". saya tiada jawapan. memang lazimnya begitulah. dek kerana kalendar cuti sekolah tidak sama dengan takwim cuti universiti, maka sering sahaja terjadi konflik dalam diri sendiri. kasihan anak-anak terutamanya sisulung, Zahra Kamila. anakanda kedua, Zahra Khayra faham erti cuti sekolah tetapi masih belum memahami apakah pengisian cuti yang sebenarnya lantaran dia hanya akan ke sekolah menjelang tahun 2016. 
 
timbunan kerja masih tetap ada di atas meja. satu persatu deadline kerja sebenarnya masih berjujuk harus disegerakan. beberapa buah manuskrip harus dibaca dan ditelaah, malahan beberapa buah buku harus dirujuk untuk menyempurnakan beberapa buah tulisan dan makalah. Rabb, ternyata tugas pendidik yang berkhidmat di kampus cukup menuntut kesabaran yang berganda. belum dikira dengan panggilan mesyuarat, urusan penyeliaan pelajar peringkat bacelor, master dan ph.d; keruwetan dan kerumitan mengharunginya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.
 
lantas bagaimana menghadapi kerenah anak-anak di rumah? berdepan dengan keletah sikecil, Muhammad Khalil dan adik bongsunya yang sudah boleh berlari, Khalisha juga menuntut kesabaran yang tidak bertepi. sering sahaja masa di rumah bersama-sama dengan ragam dan gelak ketawa dengan permata hati menjadi ruang bahagia kami untuk mengusir lelah bekerja selama seminggu. malahan dengan usik mengusik antara mereka yang sesekali bergaduh mesra turut membangkitkan kenangan manis kala saya mengharungi musim kanak-kanak lewat puluhan lalu yang lama berlalu. saban tibanya musim cuti sekolah, ayah dan emak akan membawa kami "berjalan" menghabiskan musim cuti; paling kerap tentu sahaja mengikut ayah ke kampung halamannya, Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. saban tibanya musim cuti sekolah, ayah dan emak akan membeli kami buku-buku cerita yang harus dibaca adik-beradik dengan khusyuk dan seronok.
 
bagaimana dengan anakanda-anakanda saya?
 
Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha. ya, saya melihat mereka dalam diri saya. kesemuanya bersaing secara sihat. kesemuanya bersaing untuk merebut hati ibu dan ayahnya. kesemuanya bersaing untuk mencipta momen manis bersama-sama dengan ahli keluarga. kala disuakan buku-buku untuk dibaca, mereka menelaahnya secara sungguh-sungguh. kala disuakan mainan untuk menghindar bosan, mereka menekuninya dengan riang. kala disuakan dengan hidangan menu pagi dan petang, mereka menikmatinya dengan girang. ya, saya melihat keletah anak-anak yang terbentang di depan mata sebagaimana saya mengimbau kembali memori kami kala melewati musim kanak-kanak yang pasti tidak akan kembali. Tuhan!
 
alhamdulillah. syukur yang tidak bertepi. segala puji hanya untuk-Nya yang Maha Memberi, Mengurnia dan Memahami.
 
Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha. ya, mereka bersaing secara sihat dan mencetuskan bahagia. pabila Khayra dinobatkan sebagai pelajar cemerlang tadikanya, Kamila pada awalnya terkedu tanpa kata dan mahu menitiskan air mata. namun, apabila Kamila pula diumumkan sebagai pelajar nombor dua dalam kelasnya dengan pencapaian 9A 1B, kegembiraannya terserlah nyata. mereka bukans ekadar memiliki pertalian darah yang sama, bahkan mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk menggapai cita-cita dalam merealisasi jaya. terima kasih dua anakanda yang begitu memahami hasrat ibunya. pasti yang kecil pula akan menyusul, Khalil dan Khalisha suatu ketika.
 
ya, dalam keributan dan kekalutan ibunya dengan pelbagai urusan kerjaya, namun masih diberi pengertian oleh anak-anaknya. terima kasih, terima kasih dan terima kasih sesungguhnya. tanpa pembantu di rumah, tanpa bantuan ahli keluarga lain yang turut juga mempunyai tanggungjawab lainnya, anak-anak masih tahu membawa diri dan masih bijak menguruskan hal tersendiri. dan ternyata sebagai ibu, saya sesungguhnya rasa terharu, rasa sebak mengepung dalam dada.   
 
pabila anak-anak bersaing, faham perihal kesibukan kerjaya ibunya dan memahami erti sebenar rasa kasih-sayang dalam ikatan darah-daging, saya sesungguhnya merafak sembah dan kalungan tanda terima kasih buat Allah al-Muhaimin al-Muiz al-Muhyi. Rabb, dengan izinmu masa yang pantas berlari dengan sarat uji, kami laluinya dengan ketenangan sekali. syukur, syukur dan syukur sekali.

No comments:

Post a Comment