Thursday 31 December 2015

sejauh mana kalian bersedia?

musim peperiksaan di kampus. menjelang tahun 2016, semua memori lama juga bakal terhapus. apa yang tinggal kenangan, pengalaman dan kematangan. yang lebih utama sejauh mana kalian bersedia mengharungi liku dan cabaran?
 
ada sesetengahnya masih berpeluk tubuh, masih terkenang perihnya usaha yang dilakukan tanpa melakukan apa-apa perubahan. selebihnya mengeluh, merungut dan menelan sarat kepahitan dengan linangan air mata. cukupkah setakat itu?
 
ya, hidup ini sarat ujian dan dugaan.
 
sebagaimana ungkap Prof. Kamil Ibrahim dalam bukunya "bersyukur saat diuji", lantaran di situ terselit pesanan dan perutusan daripada Allah ar-Rahim ar-Rahman.
 
sebuah perutusan dan pesanan agar diri makin dekat dengan-Nya. sebuah ingatan dan pedoman agar amalan yang baik dilakukan untuk meraih pahala, dan menghindar perkara buruk untuk mengelakkan dosa.
 
justeru, musim peperiksaan merupakan musim menguji. segalanya diuji. kemampuan. kematangan. kebolehan. kebijkasanaan. keimanan. ketenangan. ketaqwaan. 
 
malahan ini merupakan ujian di pentas kehidupan. bagaimana pula ujian di padang mahsyar? bersediakah kita?
 
menoleh diari 2015, membelek diari 2016, seharusnya bersiap siaga diri bangkit menghadapi hari muka dengan keutuhan, kekentalan, kekuatan, dan kedewasaan. paling utama pasakkan kesabaran yang berganda untuk meraih impi dan misi sebagaimana sukarnya menggapai bintang di langit sana.
 
moga Allah al-Raqib al-Majid al-Wajid menunjuk jalan kebenaran!

Wednesday 30 December 2015

pabila tahun berganti

diari 2015 bakal ditutup. diari 2016 bakal dikuak. begitu masa pantas pergi, berganti dan tidak menoleh lagi. dengan tuntutan kerja di kampus yang tidak pernah usai, sesungguhnya perjuangan hidup begitulah, ianya tidak pernah berakhir. ya, manusia sebagai khalifah yang diamanah untuk melestari perjuangan yang dilakukan oleh ikon Islam, Rasulullah SAW yang bertubi-tubi dikekang dan diduga dalam menyebarkan dakwah, pun tetap tidak pernah mengalah.
 
ya, mudah-mudahan diri punya semangat sebagaimana nabi akhir zaman itu. sebagaimana kala menjadi tetamu di Masjidil Nabawi dan dapat melihat maqam Rasulullah SAW begitu air mata menitis, begitu rasa akrab padanya walau diri ini tidak pernah sesekali melihat raut wajahnya. 
 
aura perjuangannya tetiba meresap dan tumbuh segar dalam jiwa. musabab itu bagi yang kali pertama menjejak kaki ke kota Madinah, pasti rindu itu membara, dan keinginan untuk ke sana membuak-buak sentiasa. ya, diri begitu merindui dua kota haramain, Madinah yang tersergam Masjidil Nabawi dan Makkah, yang gah dengan Masjidil Haram. Rabb, izinkan kami menjadi tetamu-Mu lagi. rindu yang tidak terungkap dengan sebuah perkataan kala melihat sahabat-sahabat melaksanakan rukun Islam yang kelima atau mengerjakan umrah pada setiap musim.
 
pabila tahun berganti, setiap kita pasti punya perancangan yang tersendiri. pabila tahun berganti, setiap kita pasti punya harapan yang memenuhi diri.
 
ya, setiap kita punya perancangan dan harapan agar Allah makbuli. pabila tahun berganti, moga sentiasa dalam perlindungan dan kasihsayang-Nya saban hari untuk terus-terusan mendakap manisnya iman mengisi diri. 

Monday 28 December 2015

Pabila meraih ketenangan

dalam kekalutan.
dalam keributan.
dalam ketegangan.
menguruskan kerja-kerja di kampus yang tidak pernah usai sementelahan hujung tahun menjelang.

meraih ketenangan.
bersama-sama keluarga tersayang.
bersama dengan anak-anak yang mendambakan kasih-sayang.
dengan segala keletah dan ragam setiap pagi dan petang.

ya, benarlah.
meraih ketenangan.
paling utama dalam kehidupan.
dan yang paling bermakna ketenangan.
mohon dakapan Islam dalam rimbunan iman.

solat, tadabur al-Quran, zikir, qiyamulail, tazakur, tafakur; kesemuanya merupakan ketenangan yang berkekalan.

Allah al-Muhyi al-Muiz al-Muhaimin, berikan ketenangan yang hakiki buat kami sebelum kembali pulang.

Friday 25 December 2015

pabila Kamila menulis

sejak kecil, anakanda sulung ini saya dedahkan dengan buku-buku. sementelahan sejak kecil juga dia kerap mengikut kuliah saya di kampus. dalam usia 5 dan 6 tahun dia sudah boleh mmebaca dengan lancar, dan paling utama mencintai buku sebagaimana ibunya.
 
sejak usia 7 tahun juga dia sudah bermesra dengan buku-buku hasil tulisan ibunya. dia berusaha memahami kumpulan cerpen Catatan Cinta Anakanda Bonda misalnya dengan senyuman dan kerut di dada. malahan sejak akhir-akhir ini pula pabila dia kerap mengikuti kuliah kursus Penglahiran Bakat Kreatif di kampus, dia mula bercita-cita mahu menjejaki langkah saya. Allahu Akhbar.
 
"Kamila mahu menjadi penulis", usulnya yang membuatkan hati saya berbunga.
 
 
maka, bermulalah projek penulisan cerita kanak-kanak di musim cuti sekolah. saya melakar draf untuknya dengan hasrat dia akan akan menulis, dan saya akan mengedit. pun, di luar duga. hanya dalam tempoh 2 minggu, draf saya ditulis dengan begitu baik. mengagumkan. apabila dia membaca semula tulisannya, saya hanya mengusulkan beberapa patah perkataan untuk disesuaikan dengan plot cerita, selebihnya bahasa Melayunya amat baik. kosa kata yang dipilih juga cukup menyenangkan.
 
"Tak sabar cerpen yang ayong tulis ini diterbitkan, ibu", omelnya dalam nada riang.
 
saya mendakapnya erat. besar jiwanya. besar harapannya. dan besar juga cita-citanya yang mulia.
 
anakanda sulung bergelar penulis cilik dalam usia 8 tahun, saya sesungguhnya amat berbahagia. Rabb, terima kasih atas segala kurnia.
 
 
 
 

Tuesday 22 December 2015

pabila ilham menjelma

mahu menulis?
mahu berkarya dengan lebih aktif?
mahu buku diterbitkan untuk terus prolifik dan produktif?
ya, mahu. dalam diri tidak pernah menanggalkan azam setinggi langit, harapan setinggi gunung.
 
buku terakhir saya diterbitkan pada tahun 2014, sebuah buku ilmiah. buku kesepuluh itu adalah buku tentang kajian novel Melayu, "Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif", terbitan UPM Press Sdn. Bhd. sebuah penerbitan yang berpengkalan di Serdang yang banyak menerbitkan buku-buku ilmiah.
 
justeru, untuk tahun 2016 mendatang, saya punya sarat misi dan visi. sekurang-kurangnya sebuah buku bakal diterbitkan. itu impian. walau bukan buku secara perseorangan, buku secara berkumpulan juga memadai. sekurang-kurangnya ada buku sebagai satu kepuasan, dan paling utama untuk dihidangkan kepada anak bangsa.
 
ya, buku kami bertiga; kajian 3 sekawan. mereka ialah Kamariah, Mawar dan Tengku Intan Marlina. kami bersahabat atas kapasiti sama bidang kepakaran, sastera Melayu moden, yang mengungguli teori sastera yang tersendiri, dan paling utama lagi saling memahami, saling tulus dan luhur dalam persahabatan yang dibina.
 
pabila ilham menjelma, impian untuk segera terhasil amat dinanti sesungguhnya. Rabb, mohon makbulkan doa hamba-Mu yang kerdil cuma.

Monday 21 December 2015

pabila kesibukan melanda

cuti sekolah sudah masuk sebulan. hanya tinggal seminggu sahaja lagi sesi persekolahan baharu akan bermula.
 
anakanda Zahra Kamila akan beralih tahun ketiga di sekolah manakala anakanda Zahra Khayra masuk tahun satu. syukur. usia anak-anak bertambah dan terserlah kematangannya jua. dan kami belum sempat untuk menikmati percutian.
 
saya?
 
sibuk memanjang. mesyuarat. pengisian KM Portal. pengisian ICRISC. pengisian markah tugasan mahasiswa. penyeliaan pelajar bacelor, master dan Ph.d. yang berjujuk menunggu pertemuan. dan pelbagai urusan yang kekedang mengusut fikiran.
 
sementelahan pula anakanda keempat diserang demam campak. Allahurabbi.
 
"Dr. Kay nampak penat dan tidak happy macam selalu", sahabat saya, Dr. Mawar menyapa di laman whatshapp group kami "kajian 3 sekawan".
 
benar. tak terungkap perkataan. hidup ibarat robot dan rengsa nubari. pun, syukur di sela-sela duga yang hadir, saya diberikan ilham untuk berkarya. maka, lahirlah beberapa buah sajak yang dapat mengubat lara. malahan tercetus juga beberapa idea untuk menghalusi dan meneliti cerpen yang lama tertangguh penulisannya.
 
pabila diri dilanda kesibukan, Allah sahaja yang Maha Tahu. pabila diri diasak dengan tekanan, Allah sahaja yang Maha Mengerti.
 
terima kasih Allah. terima kasih ya Rahim ya Rahman atas segala kurnia yang membuatkan diri lebih cekal dan tabah. 

pabila emak bahagia

emak saya, Hajah Sa'adiah sudah tiga tahun berada di atas kerusi roda. kesan daripada serangan angin ahmar yang dihidapnya sejak tahun 2012, masih ingat tarikh itu, sehari sebelum bermulanya Ramadhan, emak diduga dengan besar sekali.
 
kala itu saya sedang sarat menghamilkan anak ketiga, Muhammad Khalil Ziyad. kala itu juga saya sedang menyempurnakan cuti sabatikal yang diberikan oleh pihak universiti. Allah, tiada ungkapan yang selayaknya apabila melihat emak yang segar bugar sebelum ini terbaring di ranjang untuk sekian lama.
 
ya, seminggu sebelum emak diserang angin ahmar, kami ke Temasek. emak dan ayah riang mengikut saya dan keluarga ke negara jiran untuk menyelesaikan misi penyelidikan dalam tempoh cuti sabatikal saya; Februari 2012-Oktober 2012 ( Tempoh 9 bulan) lamanya.
 
terkejut.
terperanjat.
macam tidak percaya.
destinasi terakhir emak keluar negara adalah ke Temasek.
dalam suasana ceria dan bahagia.
 
tanggal sehari sebelum Ramadhan itu, tragedi terjadi.
emak tidak boleh bergerak kala mahu bangun dari tidur untuk bertahajud sebagaimana biasa. Allahu Akhbar!

ya, 2015 merupakan tahun ketiga emak tidak boleh berjalan seperti manusia biasa. maka, kerusi roda yang dibawa pulang oleh saya yang dibeli di farmasi bandar baru bangi itulah kekuatan emak kini. walaupun emak kini bebas daripada penyakit 3 serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang setelah mendapat rawatan sama ada daripada perubatan moden atau tradisional, pun kaki emak masih belum boleh melangkah.

melihat anakanda ketiga saya, Muhammad Khalil Ziyad sudah boleh berlari, tetiba terkenang genap tempoh emak bergelut dengan penyakitnya. dalam tahun yang sama, seorang diserang penyakit, dans eorang lagi lahir ke muka bumi ini. Maha Suci Allah!

pabila satu persatu sahabat saya menziarahnya, saya lihat emak bahagia. walau pada raut wajahnya sedikit sendu, dan mimik mukanya bernada sayu, tetapi saya tahu emak bahagia. emak bahagia lantaran masih ada "anak-anak"nya sudi bertanya khabar, menyapa, singgah sebagaimana musim sihatnya suatu ketika.

emak. ya dia emak saya. pabila dia bahagia, saya ternyata amat berbahagia!
 
 

Thursday 17 December 2015

pabila diri diuji

apakah bentuk ujian yang pernah hadir menyapa dalam diri? apakah corak dan rupa bentuk dugaan yang bertandang menjengah hari?
 
dalam hidup ini, banyak.
 
bagaimana seseorang itu perlu depani?
 
dengan kekuatan, kecekalan, kesabaran dan ketenangan. paling utama, keimanan dan ketaqwaan sebagai pasak perjuangan.
 
pesan saya pada para pelajar BBK 3307 kursus Novel Melayu untuk semester ini pada kuliah terakhir kami: "sehingga nafas kita terhenti, baru ujian dan dugaan turut terhenti."
 
mudah-mudahan ujian yang menyapa dalam diri, singgah mendatangi hari bukanlah penamat untuk kita bangkit kembali.
 
katakan pada ujian dan dugaan: "terima kasih. banyak yang dipelajari. maka, syukurlah apabila diuji."
 
Rabb, berikan kami pelajaran yang besar buat membangun diri mengharungi ujian yang singgah saban hari.

Monday 14 December 2015

pabila Khalisha diserang demam campak

sepanjang membesarkannya anak kecil ini mudah dijaga. dia anak kecil yang tidak banyak kerenah. sementelah kala melahirkannya juga agak mudah berbanding tiga anak yang lain. anak keempat ini hanya menangis kala mahukan susu, selebihnya dia tidak banyak ragam seolah-olah memahami kesibukan ibunya dengan urusan kampus yang tidak pernah berakhir.
 
di taska, para cikgu memanggilnya "omey" yang membuatkan kami sekeluarga mahu ketawa lantaran tidak pernah terfikir dalam kalangan kami dia begitu disenangi amat di situ. ya, satu panggilan "manja" dan "mengada-ngada", iaitu singkatan daripada perkataan "comel". sedangkan di rumah kami hanya memanggilnya "Sha" atau "adik" sahaja. 
 
anak kecil ini genap setahun enam bulan tanggal 11 Disember 2012 yang lalu, dan pada tarikh itu juga dia disahkan diserang demam campak. Allahu Akhbar.
 
dengan usia yang baru mencecah setahun setengah, dengan badannya yang kecil molek, dengan keadaannya yang sentiasa ceria, pabila diserang sakit dengan bintik-bintik merah yang memenuhi badan cukup membuatkan kami tersentuh. kala dia menangis, saya turut menangis. kala dia merintih, saya turut merintih. malahan Kamila, Khayra dan Muhammad juga turut berhiba melihat keadaan adik bongsu kesayangan mereka itu.
 
manakala di kampus pula, urusan kerja saya makin menimbun. banyak yang perlu dibereskan sebelum menjelangnya tahun 2016. urusan KM Portal, urusan ICRISC, urusan mesyuarat fakulti dan jabatan, urusan mesyuarat kurikulum master, urusan UKOM, urusan penyemakan PITA dan deretan urusan lain begitu mencabar diri. Rabb, hambamu hanya insan kerdil cuma, mohon berikan keteguhan dan kekuatan.
 
dua malam berturut-turut lena kami tidak sempurna, malahan makan juga tidak kenyang mengenangkan perit dan getirnya anak kecil yang dikasihi dan disayangi diuji.
 
Zahra Khalisha Zaidi, puteri ketiga dan anak keempat dalam keluarga, begitu besar uji buatmu, maka uji ini juga sebenarnya untuk kami. Allah al-Muhaimin al-Muhyi al-Muiz, berikan kami bongkah ketabahan yang tidak pernah padam dalam nubari.
 
dan kami percaya uji ini tanda kasih dan sayangnya Allah pada kami.
 
 
 
 

Friday 11 December 2015

pabila hasrat kecundang

dia bercita-cita tinggi dalam kehidupan. kalaulah ada 10 sijil untuk melayakkan dia bergelar seseorang dalam dunia pendidikan, pasti kesepuluh sijil itu dia mahu pasti tertunaikan. begitu keazamannya bergelora saban masa walau dikekang dengan sarat dugaan.
 
ya, dia wanita beranak lima dengan kerjaya sebagai ilmuan dalam dunia pendidikan. bukan calang-calang wanita sedemikian. ketika mana dia mengandung, ketika mana dia melahirkan, ketika mana dia membesarkan, dan ketika mana pula dia mengasuhkan kesemua anak-anaknya dengan kesabaran.
 
ya, kunci utamanya ialah pasak kesabaran. dilimpahkan segala ramuan kasih-sayang untuk anak-anak yang dikurniakan Tuhan. tanpa pembantu rumah, tanpa emak dan ayah yang telah pergi sebelum sempat melihat cucu dilahirkan, tanpa emak dan ayah mentua yang sakit tua, tanpa sanak saudara yang boleh diharapkan, namun dia tetap gigih mengendalikan. ketika mana pula dia diasak dengan pelbagai tanggungjawab di kampus sebagai seorang pendidik yang sarat kesibukan. pun, dalam kekangan dan galau kesibukan, dia kerap memenangi apa jua pertandingan, peroleh anugerah dan pelbagai pengiktirafan.
 
ya, dia wanita yang hebat dalam skala kehidupan walau diuji dengan sendat dugaan.
 
justeru, pabila suatu ketika hasratnya untuk menggapai bintang di langit kecundang, dia tarik nafas dalam-dalam. pabila keinginan yang lama terpendam tetapi tidak kecapaian, dia tenang menelek keperibadian.
 
apalagi yang dia mahu dalam kehidupan?
 
hanya sebentar cuma sebelum hayat dipanggil pulang.  
 
ya, kala dia memohon jawatan kemuncak dalam dunia kesarjanaan tetapi kecundang, dia merelakan. harus berlapang dada demi sebuah kebahagian. lantaran dalam sebuah kehidupan, bukan jawatan yang menjadi ukuran dan pencapaian. lantaran dalam kehidupan, bukan pangkat dan gelaran yang menjadi sanjungan.
 
ya, dia wanita hebat yang gigih dan diuji dengan sarat cabaran.
 
pabila hasrat kecundang, usah sesekali lupa bahawa kita tetap hamba yang menumpang di bumi Tuhan!
 
 

Thursday 10 December 2015

pabila suami curang

pernahkah anda terfikir ikatan sebuah rumahtangga jadi goncang lantaran antara pasangan berlaku kecurangan?
 
curang dalam erti kata yang luas bukan sahaja berlaku salah dalam tindakan, misalnya berdua-duaan, bercinta-cintaan, bersunyi-sunyian atau seumpamanya dengan pasangan bukan mharam tapi ada maksud lain. curang yang dimaksudkan ialah curang perasaan. maka, dalam rumahtangga seandainya terjadi demikian itu tandanya sebuah kebinasaan dalam ikatan.
 
sebagai seorang suami, bolehkah menceritakan perihal rumahtangga kepada sahabat wanitanya? sebagai seorang suami, bolehkah mengeluh di hadapan sahabat wanitanya tentang kekurangan isterinya? sebagai seorang suami, bolehkah berkongsi kisah tentang ketidakpuasan dalam hal-hal dalam kelambu di hadapan wanita bukan mahramnya? 
 
andai begini sifat dan sikap suami, memang beliau tidak layak bergelar "suami", apatah lagi bergelar pemimpin dalam sebuah bahtera perkahwinan.
 
"suami saya bermain fb dengan sahabat wanitanya. sering sahaja hantar pesanan via fb jika mahu berkongsi masalah khususnya tentang urusan rumahtangga kami", keluh wanita berusia 45 tahun itu dengan nada hiba.
 
"suami saya sentiasa berbalas whatshapp dengan sahabat wanita sekerjanya tentang masalah kerja, masalah keluarga hatta masalah seks juga", lirih suara ibu kepada lima anak itu dengan leraian air mata.
 
"suami saya asyik masyuk dengan telefon bimbitnya 24 jam. entah apa dia buat, pasti melayan fb, melayan twitter, melayan mesenger, melayan whatshapp dengan bekas kekasihnya. paling sedih, bekas kekasihnya kini janda beranak dua", adu wanita bekerjaya itu dengan wajah sendu.
 
curang. ya, curang dalam hubungan dalam sebuah bahtera perkahwinan yang bernama pernikahan. sememangnya tidak patut berlaku waima menggunakan kemudahan teknologi yang kita punya. alasannya sekadar berhubung menerusi talian telefon, bukan melakukan perkara sumbang pun. begitulah sikap seorang lelaki. memang tidak layaklah bergelar pemimpin sejati.
 
punah.
akan punahlah sebuah rumahtangga.
akan berantakanlah sebuah ikatan kekeluargaan.
akan musnahlah sebuah kemuliaan dan ketulusan.
 
para isteri yang terduga dan diduga, pasakkanlah kesabaran. moga diberi jalan penyelesaian atas segala ujian dan dugaan. mudah-mudahan nanti digalur cahaya buat menerangi kerana "wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik. lelaki yang soleh hanya untuk wanita yang solehah".
 
ayuh, muhasabah!

Wednesday 9 December 2015

pabila terkenang pengalaman awal bekerja

apakah jawatan awal anda dalam dunia pekerjaan? tentu kalian punya cerita, dan kisah, punya pengalaman dan kenangan.
 
ya, saya punya pengalaman dan kenangan yang sungguh mencabarkan. pada awal dunia pekerjaan, saya bergelar seorang "wartawan". masih terkenang pengalaman pertama menjejakkan kaki di premis penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dengan sifar tentang sisi dunia pekerjaan dan kosong tentang selok belok dunia kewartawanan. yang ada hanya segumpal ilmu tentang teori kewartawanan yang dipelajari di kampus. ya, pensyarah yang mengajar saya itu merupakan nama besar dalam disiplin ilmu kewartawan, Prof. Datuk Dr. Abd. Latiff Bakar; sekarang merupakan presiden Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).
 
saya diterima berkhidmat di penerbitan yang baru tumbuh beberapa tahun yang diterajui oleh Abu Hassan Morad, seorang pesara awal guru dan seorang penulis kreatif. beliau barangkali tertarik untuk menerima saya bekerja di premisnya memandangkan dalam cv saya tersenarai sejumlah aktiviti yang saya tempuhi sepanjang berada di kampus. cukup banyak dan aktif. sementelah saya juga menyenaraikan beberapa buah cerpen, sajak dan novel yang telah terhasil sepanjang berada di kampus juga. cukup untuk memperlihatkan seorang anak muda yang terlibat dalam dunia pembelajaran dan dunia penulisan. 
 
ya, terima kasih untuk Tuan Haji Abu Hassan Morad yang sudi menerima saya sebagai ahli baru dalam keluarga penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang pada waktu itu stafnya tidak sampai 30 orang. banyak yang saya belajar di situ, banyak ilmu yang tidak tertera dalam nota kuliah di kampus yang saya peroleh di dunia baru. terima kasih buat dua orang kuat dunia penerbitan majalah, iaitu Puan Hajah Aliyah Sijari dan Puan Hajah Jalilah Abdullah. selain, saya banyak berkongsi rasa dengan editor kelulusan dari UiTM, Puan Suraiya Pauzi yang "sporting" sebagai "kakak" dan menerima saya sebagai "adik" dalam dunia penerbitan dan kewartawanan ini.
 
apa yang saya belajar?
 
saya diamanahkan sebagai wartawan majalah ANIS; sebuah majalah tentang keluarga dan wanita Muslimah. justeru, banyak ilmu tentang dunia kekeluargaan dan perihal wanita Muslimah yang saya kutip daripada tokoh-tokoh agama dan motivasi sepanjang saya ditugaskan menemuramah mereka. 
 
masih kekal dalam ingatan, kala saya diberikan tugasan menemuramah Dr. Mashitah Ibrahim (ketika itu pensyarah UIAM kampus Petaling Jaya), bertemu Ustaz Dr. Badrul Amin, bersua Dato Sri Syed Hamid Albar, bertandang ke rumah Datin Seri Wan Azizah, menyelami kesedihan Nurul Izzah Anwar  dan ramai lagi tokoh-tokoh popular dan terkenal kala itu yang dijadikan topik perbincangan dalam majalah tersebut.
 
paling kemuncak dan istimewa tentulah saya bersama-sama dengan Puan Hajah Aliyah ke istana Selangor untuk menghadiri majlis pembukaan masjid baru dan dapat bertentang mata dengan agong dan permaisuri agong waktu itu, Sultan Selangor dan isterinya, Permaisuri Aishah.  dalam keterujaan, ada debaran. dalam keseronokan, ada cabaran. dalam kegetiran, ada kemanisan. dan di situ saya menjadi dewasa dan matang dalam menempah pengalaman dan kenangan.
 
saya dikerah ke lokasi-lokasi yang tertentu, yang adakalanya tidak pernah saya sampai sepanjang menetap di Kuala Lumpur. cukup mencabar, cukup menuntut kesabaran yang bukan kepalang. sementelahan pula pada masa yang sama saya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar sarjana persuratan Melayu di kampus Bangi. bekerja mencari bahan berita, dan belajar untuk menggapai impian sebagai pendidik.
 
ya, banyak yang saya pungut sepanjang bergelar wartawan. pengalaman, ilmu pengetahuan dan kenangan. semuanya kekal terakam dalam ingatan. 
 
benar, untuk sampai ke puncak, seseorang itu perlu lalui kepelbagaian takah. kesemua pengalaman dengan bauran perasaan itulah yang menjadikan seseorang itu  "manusia". ya, saya kenal erti segala-galanya. ya, saya tahu makna sebuah kehidupan yang sewajarnya.
 
banyak kisah sepanjang setahun menjadi wartawan dalam dunia penerbitan. banyak pengalaman dan kenangan yang terakam indah dalam ingatan. terima kasih pada sebuah pengalaman yang mendewasakan.
 
justeru anak muda hari ini, belajar untuk mendaki tangga satu persatu sebelum sampai ke puncak. jangan sesekali gopoh dan gelojoh untuk berada di puncak. malahan jangan sesekali rakus dan ghairah untuk mendaki puncak. sabar, sabar dan sabar.
 
selamat menempah alam pekerjaan buat semua warga kampus seusai tamat pengajian dengan senyuman dan keyakinan dan keimanan.

Tuesday 8 December 2015

pabila mengenang musim kampus

kuliah di kampus minggu depan masuk minggu terakhir. bermakna, sudah genap 14 minggu jumlah kuliah untuk semester ini akan berlalu pergi. maka, akan bermula pula musim mengharungi peperiksaan akhir. suatu tempoh musim yang seringkali mengerikan bagi yang tidak bersedia untuk mendepaninya. 
 
anda punya pengalaman sepanjang musim berada di kampus?
 
bagi yang pernah melaluinya, pasti memiliki sarat dengan memori.  
 
saya terkenang pengalaman tahun pertama di kampus Lembah Pantai. seorang anak yang agak cengeng kerana tidak pernah berpisah dengan keluarga kali pertama menjejak kaki di universiti, agak sebulan menangis saban hari. serba tidak kena. serba tidak selesa. sementelahan saya juga tidak selesa berkongsi segala-galanya; bilik air, kamar tidur, dan lain-lain. malahan beratur panjang kala mahu mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan petang di kantin asrama merupakan situasi yang paling tidak disenangi. lantaran saya tidak pernah tinggal di asrama kala berada di sekolah menengah menyebabkan situasi baru yang harus dilalui ketika di kampus begitu menyesakkan fikiran.
 
musabab itu emak dan ayah sering melawat saya hampir dua bulan sekali. jarak jauh yang memisahkan antara Kemaman dengan Kuala Lumpur bukan penghalang. kasihan emak dan ayah. pun, kerana mereka juga terlalu risau dan rindukan "anak cengeng"nya ini maka jarak dan masa bukan masalahnya. lagipun waktu itu emak sudah pun bersara daripada perkhidmatan perguruannya. cuma ayah yang masih lagi menabur bakti di Sekolah Kebangsaan Pusat Kemaman sebagai guru besar.
 
cengeng sungguh saya.
 
kata adik bongsu saya "Kak Ngah ni anak manja", omelnya apabila saya menyatakan kerinduan kepada kampung halaman, khususnya emak yang begitu akrab dan masakannya yang enak.
 
oh, saya kala tahun pertama di Universiti Malaya. banyak yang saya belajar. saya banyak belajar tentang kehidupan. saya banyak belajar tentang kemanusiaan. saya banyak belajar tentang mengempang bauran perasaan. saya banyak belajar tentang bagaimana menggapai kejayaan yang harus merintangi sekarung cabaran. maka, pengalaman itulah yang menjadikan saya hari ini. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akhbar.
 
dari satu tangga kepada satu tangga, saya melangkah. perlahan-lahan melangkah dengan sarat dugaan dan seliratan kekangan.
 
ya, pabila mengenang musim kampus begitu membuatkan ada air mata yang mahu tumpah. segalur reja-reja dan segumpal perca-perca kenangan yang begitu membuatkan diri makin dewasa, dan makin dekat dengan-Nya.
 
kampus Lembah Pantai; sesungguhnya manis untuk dikenang, sesungguhnya di situ saya menjadi seseorang. terima kasih Tuhan ar-Rahim ar-Rahman.
 
 

Monday 7 December 2015

pabila mengenang musim remaja

setiap manusia di muka bumi pasti ada kenangan di kala musim remaja. setiap manusia di muka bumi pasti akan mengharungi himpunan kenangan lewat di musim remaja. ya, lewat musim remaja yang mengasyikkan sesiapa jua. sehimpunan pengalaman yang pelbagai bauran perasaan yang begitu bermakna. 
 
pengalaman anda bagaimana?
pengalaman saya pastilah mengujakan pabila mengenangnya.
saya jadi dewasa dalam banyak perkara.
paling bermakna juga saya belajar banyak benda.
malahan, sebagai hamba Tuhan kita juga muhasabah dalam mengharungi sesuatu peristiwa.  
 
musim remaja, sesungguhnya amat manis untuk dikenang, dan kita punya tanggapan besar terhadapnya untuk menjadi manusia.
 
saya, remaja dan kenangan bersama sahabat remaja, Yanti dan  Fariza.

Saturday 5 December 2015

pabila cerpen dibaca

apa perasaan anda yang bergelar penulis jika sekiranya cerpen anda dibaca pembaca? kemudian, dibaca pula di hadapan kelas dengan nada suara yang kuat dan penuh penghayatan, dan anda sebagai penulis turut menyaksikannya?
 
saya pada awalnya terharu berbaur bahagia. lantaran kesudian pelajar saya membaca hasil karya saya. pun, apabila pelajar ini membacanya dengan penuh penghayatan dan dengan semangat bara, malahan akhirnya pelajar ini sendu dan menangis di akhir cerita, saya jua dilanda sebak dan hiba. Allahu akhbar.
 
tanpa saya menduga cerpen yang telah bertahun-tahun lamanya dirangkai, ditulis dengan luahan rasa dan penuh harapan jua agar difahami pembaca, akhirnya benar-benar terjadi situasi demikian rupa. pelajar dari Bacelor Sastera (Bahasa Jerman) dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM itu menangis kala menyudahkan rangkap terakhir cerpen "Orang Berilmu lwn Orang Biadab" yang terdapat dalam Kumpulan Cerpen Catatan cinta Anakanda Bonda.
 
dan ia sesungguhnya mengimbau kenangan lewat pengalaman menyudahkan penulisan cerpen tersebut pada suatu masa. watak-watak antarabangsa muncul dalam minda. latar Eropah khususnya Jerman bermain dalam kepala. musabab itu barangkali cerpen ini disenangi anak muda yang berada di hadapan kelas untuk membaca. ya, saya akui kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen terbabit terhasil lebih awal daripada apa yang dapat ditatap dalam kumpulan cerpen terbabit yang telah menjadi sebuah buku, dan dalam ilustrasi yang menguja. ia sebenarnya bermula daripada pengumpulan saya terhadap sejumlah cerpen-cerpen yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, majalah Tunas Cipta dan pelbagai medium wadah lainnya. usaha menerbitkannya dalam bentuk buku atau kumpulan cerpen apabila tertarik dengan usaha ITBM menerbitkan beberapa buah kumpulan cerpen pada tahun permulaannya menerbitkan manuskrip asli setelah diberi dana yang banyak oleh kerajaan suatu masa. dan kumpulan cerpen saya itu antara kumpulan terawal yang diterima untuk diterbitkan setelah dilakukan penilaian yang saksama. alhamdulillah.
 
pada awal penerbitannya jua saya dirasuk risau dan gulana. bimbang banyak orang tidak boleh menerima hasil karya sebegitu rupa. lantaran rata-rata kumpulan cerpen saya itu mengandungi cerpen-cerpen yang bukan sahaja lain teknik naratifnya, malahan hampir 805 dalam setiap cerpen mengandungi terjemahan ayat-ayat al-Quran atau al-Hadis sebagai sasaran mesej dan perutusan kepada pembaca. malahan ada sesetengah pembaca atau kalangan penulis mapan menggelarkannya "karya khutbah", dan saya hanya berdiam seribu bahasa. ya, siapa saya untuk menyatakan rasa ekoran daripada kesan komentar pembaca? atau siapa saya untuk menyatakan rasa selepas kesan respons pengarang yang merasakan dirinya lebih baik berkarya daripada saya? ya, saya hanya senyum dan sesekali muhasabah seketika pada setiap karya yang telah terhasil dalam diri jua. 
 
pun, syukur apabila karya kecil itu akhirnya dapat menembusi saringan pemilihan untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada tahun 2014 nan lalu dengan pelbagai cerita. Kumpulan Cerpen Catatan Cinta Anakanda Bonda antara 10 buah kumpulan cerpen yang dibawa kepada peringkat akhir untuk dinobatkan sebagai juara. malahan, kumpulan cerpen ini khabarnya dapat memikat juri pada peringkat saringan untuk diangkat menjadi pemenang secara keseluruhannya. pun, barangkali itulah takdirnya. setelah bersaing secara sihat dengan pemilihan yang ketat, kumpulan cerpen ini akur terhadap kumpulan cerpen lainnya. bagi saya mudah sahaja, kalau bukan rezeki setelah diberikan ulasan bersemangat oleh panel penilai dengan alasan itu dan ini, dengan komen itu dan ini yang sesungguhnya juga menjadikan pena saya makin bernyawa.
 
ya, pada awal penerbitan kumpulan cerpen ini tidak pernah terdetik dalam nubari karya ini akan diangkat dan dinobatkan apa-apa. justeru, apabila mengetahui kumpulan cerpen ini terpilih dalam kelompok 10 terbaik dalam finalis HSPM, keterujaan saya juga ternyata. status kalah atau menang sudah tersemat dalam dada. malahan ianya adat dalam pemilihan disebabkan saya pernah duduk dalam barisan panel penilai dengan tugasan menilai karya orang lain untuk diberi kemenangannya. malahan sebagai panel penilai pasti ada kewajaran sesebuah karya itu dipilih dan diberi pengiktirafannya. musabab itu saya jarang dan sifar masuk pertandingan apa-apa karya sastera. apa sahaja yang bernama sayembara, peraduan, anugerah atau pertandingan merupakan suatu perkara yang tidak saya gemar dan berapa suka. lantaran bagi saya sebagai penulis, kerjanya adalah "menulis" tanpa mengaharapkan apa-apa kemenangan atau pengiktirafan buat dirinya. kalau ditakdirkan terpilih atau diangkat orang lain atau dinobat oleh sekelompok panel atau diiktiraf oleh penilai, itu cerita lain tentunya. musababnya, penulis tidak pernah bertanding, hanya sekadar diberi kelayakan atau penilaian semasa. paling bermakna, hasil karya saya dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat dan perutusan saya sampai ke dalam lubuk hati mereka.
 
maka hari ini, apabila cerpen tersebut dibaca oleh sejumlah pelajar yang mengambil kursus Penglahiran Bakat Kreatif di kampus Serdang, saya ternyata bahagia. sementelah kesemua cerpen saya yang dikategorikan sebagai "sukar-berat" itu akhirnya dapat diterima dengan kepuasan oleh anak muda, saya ternyata melebarkan senyuman yang berganda. sekalung terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana memahami apakah mesej atau perutusan yang mahu saya hidangkan pada pembaca.
 
"saya takut saya jadi sedemikian rupa", tampil Noridayu seusai kuliah memberitahu mengapa dia menangis setelah menyudahkan bacaannya.
 
"saya bercita-cita mahu menyambung pengajian dan bergelar "seseorang", sebab itu saya takut nanti bila saya jadi "seseorang", saya lupa diri sebagaimana watak dalam cerpen "orang berilmu lwn orang beradab", perlahan tuturnya dalam nada sebak yang masih bersisa.
 
"bukankah iman ini boleh dibolak balikkan oleh Tuhan?", masih lagi anak muda bersuara.
 
saya merenungnya dengan tajam namun mesra. seolah-olah yang berada di hadapan saya itu "bidadari" yang mahu mempertahankan kelebihan yang dia punya. ya, siapa kita sebagai hamba? siapa kita sebagai manusia punya nafsu serakah dalam jiwa? tetapi sebenarnya kita punya usaha agar diri tidak terpesong daripada landasan yang sewajarnya. ya, berdoalah saban masa. lantaran doa merupakan senjata yang paling ampuh untuk kebaikan manusia. 
 
"saya doakan Ayu menjadi seseorang, dan seiring menjadi Muslimah yang taat pada agama", ujar saya ringkas sebelum kuliah kami bubar pada petang nan damai bahagia. 
 
"doakan saya Dr. Kamariah," masih suaranya bergetar menahan debar yang mengepung dalam dada. 
 
saya mengangguk cuma. dalam hati, ya saya akan mendoakannya lantaran anak muda ini punya semangat nan tinggi, punya cita-cita nan mulia, malahan punya juga penampilan diri dengan sahsiah terpuji yang membuatkan diri saya jua terpesona.
 
pabila cerpen dibaca, yang ianya telah lama ditulis, bagi seseorang pengarang ternyata membawa emosi dengan bauran yang berwarna. dan tentunya pula semangat untuk menulis karya lain makin membara. syukran jazilan Allah al-Latiff al-Fattah al-Hakimm atas segala kurnia.

Friday 4 December 2015

pabila anak-anak bersaing

cuti sekolah sudah bermula. anak-anak bertanya: "kita mahu ke mana, ibu?". saya tiada jawapan. memang lazimnya begitulah. dek kerana kalendar cuti sekolah tidak sama dengan takwim cuti universiti, maka sering sahaja terjadi konflik dalam diri sendiri. kasihan anak-anak terutamanya sisulung, Zahra Kamila. anakanda kedua, Zahra Khayra faham erti cuti sekolah tetapi masih belum memahami apakah pengisian cuti yang sebenarnya lantaran dia hanya akan ke sekolah menjelang tahun 2016. 
 
timbunan kerja masih tetap ada di atas meja. satu persatu deadline kerja sebenarnya masih berjujuk harus disegerakan. beberapa buah manuskrip harus dibaca dan ditelaah, malahan beberapa buah buku harus dirujuk untuk menyempurnakan beberapa buah tulisan dan makalah. Rabb, ternyata tugas pendidik yang berkhidmat di kampus cukup menuntut kesabaran yang berganda. belum dikira dengan panggilan mesyuarat, urusan penyeliaan pelajar peringkat bacelor, master dan ph.d; keruwetan dan kerumitan mengharunginya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.
 
lantas bagaimana menghadapi kerenah anak-anak di rumah? berdepan dengan keletah sikecil, Muhammad Khalil dan adik bongsunya yang sudah boleh berlari, Khalisha juga menuntut kesabaran yang tidak bertepi. sering sahaja masa di rumah bersama-sama dengan ragam dan gelak ketawa dengan permata hati menjadi ruang bahagia kami untuk mengusir lelah bekerja selama seminggu. malahan dengan usik mengusik antara mereka yang sesekali bergaduh mesra turut membangkitkan kenangan manis kala saya mengharungi musim kanak-kanak lewat puluhan lalu yang lama berlalu. saban tibanya musim cuti sekolah, ayah dan emak akan membawa kami "berjalan" menghabiskan musim cuti; paling kerap tentu sahaja mengikut ayah ke kampung halamannya, Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. saban tibanya musim cuti sekolah, ayah dan emak akan membeli kami buku-buku cerita yang harus dibaca adik-beradik dengan khusyuk dan seronok.
 
bagaimana dengan anakanda-anakanda saya?
 
Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha. ya, saya melihat mereka dalam diri saya. kesemuanya bersaing secara sihat. kesemuanya bersaing untuk merebut hati ibu dan ayahnya. kesemuanya bersaing untuk mencipta momen manis bersama-sama dengan ahli keluarga. kala disuakan buku-buku untuk dibaca, mereka menelaahnya secara sungguh-sungguh. kala disuakan mainan untuk menghindar bosan, mereka menekuninya dengan riang. kala disuakan dengan hidangan menu pagi dan petang, mereka menikmatinya dengan girang. ya, saya melihat keletah anak-anak yang terbentang di depan mata sebagaimana saya mengimbau kembali memori kami kala melewati musim kanak-kanak yang pasti tidak akan kembali. Tuhan!
 
alhamdulillah. syukur yang tidak bertepi. segala puji hanya untuk-Nya yang Maha Memberi, Mengurnia dan Memahami.
 
Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha. ya, mereka bersaing secara sihat dan mencetuskan bahagia. pabila Khayra dinobatkan sebagai pelajar cemerlang tadikanya, Kamila pada awalnya terkedu tanpa kata dan mahu menitiskan air mata. namun, apabila Kamila pula diumumkan sebagai pelajar nombor dua dalam kelasnya dengan pencapaian 9A 1B, kegembiraannya terserlah nyata. mereka bukans ekadar memiliki pertalian darah yang sama, bahkan mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk menggapai cita-cita dalam merealisasi jaya. terima kasih dua anakanda yang begitu memahami hasrat ibunya. pasti yang kecil pula akan menyusul, Khalil dan Khalisha suatu ketika.
 
ya, dalam keributan dan kekalutan ibunya dengan pelbagai urusan kerjaya, namun masih diberi pengertian oleh anak-anaknya. terima kasih, terima kasih dan terima kasih sesungguhnya. tanpa pembantu di rumah, tanpa bantuan ahli keluarga lain yang turut juga mempunyai tanggungjawab lainnya, anak-anak masih tahu membawa diri dan masih bijak menguruskan hal tersendiri. dan ternyata sebagai ibu, saya sesungguhnya rasa terharu, rasa sebak mengepung dalam dada.   
 
pabila anak-anak bersaing, faham perihal kesibukan kerjaya ibunya dan memahami erti sebenar rasa kasih-sayang dalam ikatan darah-daging, saya sesungguhnya merafak sembah dan kalungan tanda terima kasih buat Allah al-Muhaimin al-Muiz al-Muhyi. Rabb, dengan izinmu masa yang pantas berlari dengan sarat uji, kami laluinya dengan ketenangan sekali. syukur, syukur dan syukur sekali.

Thursday 3 December 2015

pabila anakanda berjaya

"Ibu, kalau angah tak dapat nombor satu kali ini, ibu marah tak?", omel Zahra Khayra suatu pagi nan damai.
"Tak. Ibu tak marah sayang", jawab saya ringkas.
"Ibu marah kalau angah tak solat. Ibu marah kalau angah asyik bergaduh dengan Muhammad", ungkap saya pula. 
Khayra terdiam. Raut wajahnya memperlihatkan senyum kelat. Entah apa yang bersarang dalam dirinya saya sendiri pun tidak tahu.
Pun, masih saya ingat kala peperiksaan akhir di tadikanya tempohari dia ada menyatakan bahawa dia tidak dapat menjawab soalan dengan baik sebagaimana peperiksaan yang lalu. Sementelahan pula kala itu saya ke Kota Temasek dalam misi menghadiri MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara). Menurut Khayra lagi, dia tidak dapat menumpukan perhatiannya kali ini , malahan pula perutnya juga meragam.
 
Anakanda kedua kami. Keletah dan ramah orangnya. Sering menjadi perhatian ramai. Selain, iras wajahnya yang ada pengaruh Arab-Cina-Inggeris, sesekali membuatkan kami risau. Kerap terjadi pabila di khalayak, ramai yang menegurnya "comel" dan sebagainya. Bagi pihak dirinya juga sering "perasan" orang memujinya dengan pelbagai jolokan. Musabab itu saya sering mengingatkannya dengan menampilkan tingkah laku mulia. "Apa guna cantik kalau tidak beradab?, apa guna comel kalau tidak solat?, apa guna lawa kalau mengada-ngada?", begitu yang saya usulkan padanya selalu.
 
Bagi pihak saya pula, dia merupakan anak yang manja dan sesekala menggoda. Manja kerana beza usia dengan adiknya, Muhammad tiga tahun. Manakala menggoda kerana pandai mengambil hati ibunya dengan keletahnya itu sementelah dapat mengusir lelah setiapkali baru pulang dari kampus.
 
Maka, apabila sekali lagi Zahra Khayra diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi keseluruhan 3 cawangan di Tadika Imtiaz Aulad, hati saya berbunga riang. Malahan tetiba pula sebak datang bertandang. Kala biodatanya dibaca oleh gurunya memenuhi dewan sekolah, ada air jernih bertakung di mata. Saya berusaha menahan dan menyekanya agar tidak jatuh lantaran dewan dipenuhi dengan ramai ibubapa dan pelajar lain.
 
Saat kami semua (ahli keluarga) diundang ke pentas untuk menerima trofi, hamper dan sijil atas pencapaiannya, sekali lagi saya terkedu dan terharu. Oh anakanda kami. Tidak sesekali saya mengharapkan kecemerlangannya untuk dipuji dan dirai. Cukuplah dia boleh membaca, bersolat dan aktif dalam kelas di tadikanya. Bagi saya itu sudah memadai. Pun, pencapaiannya yang melebihi harapan dan impian ini membuatkan saya bersyukur yang tidak terperi.
 
Perjalanannnya masih panjang. Tetapi bagi seorang ibu, hatinya tetap terusik bahagia. Walau sekecil cuma pencapaiannya hanya di sekolah tadika, pun rasa bahagia tidak terungkap dengan kata-kata. Begitu barangkali yang dirasai oleh emak saya dulu. Terima kasih anakanda Khayra kerana memberikan warna bahagia untuk ibu. Sekalung terima kasih juga untuk anakanda sulung, Zahra Kamila atas kesungguhannya membantu adiknya dalam banyak perkara. Sering sahaja kesibukan ibunya menyebabkan banyak perkara terpaksa digalas oleh Kamila khususnya usaha  mengulangkaji pelajaran bersama-sama. 
 
Pabila anakanda berjaya, hati seorang ibu terusik bahagia. Rabb, mohon lindungi permata hati kami nan tercinta.