Thursday 3 December 2015

pabila anakanda berjaya

"Ibu, kalau angah tak dapat nombor satu kali ini, ibu marah tak?", omel Zahra Khayra suatu pagi nan damai.
"Tak. Ibu tak marah sayang", jawab saya ringkas.
"Ibu marah kalau angah tak solat. Ibu marah kalau angah asyik bergaduh dengan Muhammad", ungkap saya pula. 
Khayra terdiam. Raut wajahnya memperlihatkan senyum kelat. Entah apa yang bersarang dalam dirinya saya sendiri pun tidak tahu.
Pun, masih saya ingat kala peperiksaan akhir di tadikanya tempohari dia ada menyatakan bahawa dia tidak dapat menjawab soalan dengan baik sebagaimana peperiksaan yang lalu. Sementelahan pula kala itu saya ke Kota Temasek dalam misi menghadiri MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara). Menurut Khayra lagi, dia tidak dapat menumpukan perhatiannya kali ini , malahan pula perutnya juga meragam.
 
Anakanda kedua kami. Keletah dan ramah orangnya. Sering menjadi perhatian ramai. Selain, iras wajahnya yang ada pengaruh Arab-Cina-Inggeris, sesekali membuatkan kami risau. Kerap terjadi pabila di khalayak, ramai yang menegurnya "comel" dan sebagainya. Bagi pihak dirinya juga sering "perasan" orang memujinya dengan pelbagai jolokan. Musabab itu saya sering mengingatkannya dengan menampilkan tingkah laku mulia. "Apa guna cantik kalau tidak beradab?, apa guna comel kalau tidak solat?, apa guna lawa kalau mengada-ngada?", begitu yang saya usulkan padanya selalu.
 
Bagi pihak saya pula, dia merupakan anak yang manja dan sesekala menggoda. Manja kerana beza usia dengan adiknya, Muhammad tiga tahun. Manakala menggoda kerana pandai mengambil hati ibunya dengan keletahnya itu sementelah dapat mengusir lelah setiapkali baru pulang dari kampus.
 
Maka, apabila sekali lagi Zahra Khayra diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi keseluruhan 3 cawangan di Tadika Imtiaz Aulad, hati saya berbunga riang. Malahan tetiba pula sebak datang bertandang. Kala biodatanya dibaca oleh gurunya memenuhi dewan sekolah, ada air jernih bertakung di mata. Saya berusaha menahan dan menyekanya agar tidak jatuh lantaran dewan dipenuhi dengan ramai ibubapa dan pelajar lain.
 
Saat kami semua (ahli keluarga) diundang ke pentas untuk menerima trofi, hamper dan sijil atas pencapaiannya, sekali lagi saya terkedu dan terharu. Oh anakanda kami. Tidak sesekali saya mengharapkan kecemerlangannya untuk dipuji dan dirai. Cukuplah dia boleh membaca, bersolat dan aktif dalam kelas di tadikanya. Bagi saya itu sudah memadai. Pun, pencapaiannya yang melebihi harapan dan impian ini membuatkan saya bersyukur yang tidak terperi.
 
Perjalanannnya masih panjang. Tetapi bagi seorang ibu, hatinya tetap terusik bahagia. Walau sekecil cuma pencapaiannya hanya di sekolah tadika, pun rasa bahagia tidak terungkap dengan kata-kata. Begitu barangkali yang dirasai oleh emak saya dulu. Terima kasih anakanda Khayra kerana memberikan warna bahagia untuk ibu. Sekalung terima kasih juga untuk anakanda sulung, Zahra Kamila atas kesungguhannya membantu adiknya dalam banyak perkara. Sering sahaja kesibukan ibunya menyebabkan banyak perkara terpaksa digalas oleh Kamila khususnya usaha  mengulangkaji pelajaran bersama-sama. 
 
Pabila anakanda berjaya, hati seorang ibu terusik bahagia. Rabb, mohon lindungi permata hati kami nan tercinta.
 
 

No comments:

Post a Comment