Saturday 11 June 2016

Ramadhan, dan memori

apakah yang paling manis sepanjang tempoh Ramadhan yang dilalui?
 
bagaimanakah kenangan yang manis itu anda pahatkan dalam memori? sepanjang tempoh Ramadhan yang diharungi itu, adakah segala pengalaman dan kenangan itu anda biarkan sahaja ianya berlalu pergi?
 
Ramadhan, dan serangkum memori, amat banyak untuk dicatat dan dikongsi.
 
manis, memang manis, dan memberikan makna dalam usia yang mencecah angka 40-an ini. pabila melihat dua Zahra saya, Kamila dan Khayra berpuasa, membuatkan diri terkenang pengalaman berpuluh tahun alam kanak-kanak yang telah ditinggalkan, pun tetap terpahat dalam nubari.
 
Hari ini, sudah menyusur 7 Ramadhan, begitu pantas masa pergi, dan usia kita juga berganti, persis angin, ianya tidak pernah berhenti berlari, dan jauh meninggalkan diri.

 


Pabila dewasa begini, bukan lagi apakah juadah yang perlu difikirkan untuk berbuka pada petang nanti. Pabila usia sudah memangkah angka 40 lebih, bukan lagi hitungan detik berbuka dengan hidangan yang enak sekali. Pabila menghampiri usia 50, bukan lagi bilangan hari untuk menyambut Syawal dengan keterujaan merantai diri.
 
bukan, bukan, semuanya bukan sebagaimana anak-anak kecil yang memikirkan kedatangan raya, dan menghitung detik Ramadhan berlalu pergi.
 
pabila dalam usia begini, seringkali yang menghantui diri pastilah ketakutan, kegusaran, kegerunan, keracauan dan kegentaran setiapkali menjelangnya Ramadhan yang berganti, apakah pengisiannya makin berganda buat menyubur pahala, mengugur dosa tatkala bertemu Ilahi.
 
makin bertambahkah amalan buat menyinar muka bumi? makin bergandakah ganjarannya daripada sehari ke sehari? makin banyakkah noda dibiarkan bermukim dalam hati sedangkan maklum Ramadhan amat bermakna dalam jiwa Muslim sejati.

Allahurabbi.
 
Ramadhan, dan memori.
 
Mudah-mudahan Allah al-Fattah al-Wahhab al-Razzak melapangkan diri untuk berbakti dengan sesungguhnya demi mengaut berganda amalan dan pahala sepanjang tempoh Ramadhan tahun ini. walau apa sahaja status diri; wanita, isteri, ibu dan hamba yang menumpang di bumi Tuhan sebelum pulang bertemu-Nya di kampung abadi!
 
 

 
 

Tuesday 7 June 2016

Percutian Kami

lama tidak bercuti secara beramai. sejak emak di kerusi roda, sejak Khalisha lahir, dan sejak saya diburu waktu, memang kami sekeluarga tidak berkesempatan bercuti.

kali ini, sempena cuti sekolah, sempena minggu terakhir kuliah, kami mengambil kesempatan untuk bercuti. setelah dirancang oleh adinda saya, Samsul Kahar yang ingin membawa emak dan ayah ke negeri yang terkenal dengan jolokan "Bandaraya Bersejarah".

adinda bongsu saya ini menguruskan segalanya. daripada bilik penginapan sehinggalah program perjalanan, dialah yang mengepalainya.

dengan tiga buah kereta, kami tiga keluarga termasuk emak dan ayah bergerak serentak melepasi lebuhraya. destinasi pertama, Restoren Asam Pedas Selera Kampung, diikuti Hotel Swiss Garden, malamnya menyusuri Sungai Melaka dengan bot. Hari kedua, Zoo Melaka, dan malamnya ke Restoren Deli Muara, Umbai untuk menikmati ikan bakar. Hari ketiga, Masjid al-Azim untuk melihat Pameran Ketamadunan Islam.

tiga hari dua malam dirasakan begitu singkat lantaran banyak lokasi yang belum diteroka. sementelahan pula saya dan suami sudah hampir lima tahun tidak ke Melaka. ternyata begitu banyak perubahan dan pembangunan yang begitu pesat dan drastik.

apakah ole-ole yang dibawa pulang? kata Kamila, anakanda sulung, "banyak yang Ayong nak tulis nanti". ya, banyak yang hendak ditulis yang tidak terungkap dengan kata-kata. terutama pabila melihat hati emak berbunga pabila dapat peluang bercuti bersama anak-anak dan cucu-cucunya. 

asam pedas, dodol, sungai Melaka, dan kenangan kami adik-beradik bersatu dalam mekarnya senyuman dalam perjalanan pulang meredah lebuhraya pada petang Jumaat nan baraqah. moga ada pertemuan kembali, dan bercuti lagi dan ukhwah antara kami kekal mewangi hingga syurgawi! 

 

Monday 16 May 2016

Tanggal 16 Mei

saban tahun, tanggal 16 Mei tidak pernah luput daripada ingatan. sementelah saya dibesarkan dalam keluarga pendidik, maka tarikh itu sentiasa tersimpan rapi dalam hati. masih teringat bagaimana emak, Cikgu Hajah Sa'adiah akan pulang dengan pelbagai ole-ole dan hadiah yang diberikan oleh para pelajar yang menyayanginya. ya, sejak kecil saya tahu emak punya pelajar yang amat menghargainya sebagai seorang guru. natijahnya, tanggal 16 Mei merupakan kemuncak penghargaan dan rasa kasih itu diberikan kepada gurunya. lantaran emak dengan penuh kesabaran dan limpahan kasih juga mendidik anak-anak muridnya saban masa sehingga tamat kariernya pada tahun 1996.

berbanding ayah, Cikgu Haji Kamarudin yang agak garang dan bergelar guru besar, maka tanggal 16 Mei jarang sekali dibawa pulang hadiah. oh, kenangan kala musim kanak-kanak yang tetap terpahat dalam nubari.

dan kini, setelah 10 tahun berkhidmat sebagai pensyarah, tanggal 16 Mei walaupun  ditujukan  khas buat guru, namun sebenarnya ia patut diraikan buat semua pendidik di muka bumi ini. tanggal 16 Mei seharusnya diraikan lantaran untuk memberikan inspirasi kepada para pendidik bahawa ada satu momen yang patut dikenang oleh orang lain kerana amanah dan tanggungjawab yang tersandang di bahu.

tahun ini, saya menerima pelbagai catatan di telefon pintar tentang hari guru. tentang bagaimana ingatan, harapan, pesanan, dan titipan daripada anak didik dan kenalan tentang sambutan 16 Mei.

ya, setelah 10 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan, dan setelah 43 tahun bergelut dalam keluarga pendidik, maka, mesejnya jelas buat saya bahawa betapa besarnya amanah yang perlu direalisasikan. 

tanggal 16 Mei, bukan sahaja para pendidik rasa dihargai bahkan para pendidik juga perlu bermuhasabah sejauh mana tanggungjawab mendidik dapat diuruskan dengan sempurna. ya, sebelum pulang bertemu-Nya, apakah nanti jawapan yang harus dinyatakan pabila disoal?

dan sesungguhnya selautan terima kasih buat semua guru saya; Sekolah Kebangsaan Chukai, Sekolah Kebangsaan Binjai, Sekolah Menengah Agama al-Falah, Sekolah Menengah Chukai, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. kalian amat bermakna dalam jiwa, dan saya mendoakan kebahagiaan dan kebaikan atas segala budi dan jasa. moga kita semua berhimpun di jannah dalam wangian harumnya doa!

 

Sunday 15 May 2016

13 Mei 2006-13 Mei 2016

apakah yang dapat dikutip daripada pantasnya pergerakan angka? apakah yang dapat dipungut daripada tangkasnya peredaran masa dan usia?

banyak sekali untuk diri bermuhasabah, dan merenung tentang anugerah-Nya.

alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun usia perkahwinan saya. begitu tidak menyangka. dalam tempoh 10 tahun banyak yang Allah kurnia. nikmat paling utama adalah kelahiran 4 anakanda dalam sibuk dan kelibut menguruskan rumahtangga. keletah dan kerenah mereka yang sentiasa ceria dan sesekali bertengkar begitu menggamatkan ruang rumah seadanya.

maka, nikmat manakah yang kamu dusta wahai manusia?

ternyata, surah ar-Rahman begitu membekas dalam jiwa. menendang-nendang sukma. dan pastinya kala menatap surah tersebut dan mengulang baca menyebabkan tumpahnya air mata.

10 tahun bukan tempoh yang singkat dalam urusan yang sarat saban masa. gelora yang datang juga bukan senang untuk menanganinya. sementelah ujian yang sesekali menggoda. apa kekuatannya? tentulah kesabaran yang berganda.

selain, mohonlah doa pada-Nya. mohon diberikan seribu cahaya. seribu cahaya buat menerangi ahli keluarga. agar kesemuanya dalam lindungan sentiasa.

terima kasih sesungguhnya buat cinta hati saya, Zaidi Haji Muhammad yang sentiasa bersiap siaga. beliau sentiasa di sisi kala duka dan bahagia. beliau sentiasa di sisi kala kecewa dan gembira. dan paling bermakna, beliau menerima kekurangan dan kekhilafan saya dengan berlapang dada.

buat anakanda berempat pastinya; Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha yang sering membugar semangat ibunya mengejar cita-cita walau berdepan dengan rona duga. 

Rabb, sejauh perjalanan masa yang kami harungi, moga sahaja destinasinya dipercik wangian jannah untuk kami berhimpun bersama. Allah, mohon terima doa hamba-Mu yang kerdil cuma!

Wednesday 4 May 2016

Kepulangan Ke Kampung Abadi

seingatan saya, allahyarham bapa mentua, iaitu Haji Muhammad Haji Mokhtar merupakan ahli keluarga yang pergi bertemu-Nya dalam tempoh terdekat. peristiwa itu berlaku pada tahun 2011, dan kami kala itu hanya memiliki dua anak. dengan Kamila dan Khayra yang masih kecil, yang juga tidak mengerti makna "kematian". dan selepas itu, kami tidak pernah melalui pengalaman menghadap jenazah lagi.
 
sehinggalah tanggal 24 April 2016, uwan Hajah Saodah Daud, emak kepada ayah saya pergi meninggalkan dunia yang sarat goda. kala menerima berita itu, saya terpampan. ya, kematian. menghadapi kematian merupakan suatu pengalaman yang menggerunkan. memang ianya suatu kepastian, tanpa mengenal usia, pangkat dan darjat keturunan, pun sesungguhnya ianya pasti menginsafkan.
 
ya, untuk kesekian kali setelah bertahun-tahun lamanya tidak berdepan dengan kematian dalam kalangan ahli keluarga terdekat, pagi sabtu itu saya mengulangi peristiwa perpisahan. walaupun pada awalnya tidak setitik pun air mata yang tumpah kerana mengenangkan uwan juga sudah berusia dan sakit tua, pun saat mencium jenazah untuk kali terakhir, tetiba dada saya sebak. ya, kita berpisah dan tidak akan bertemu lagi di dunia fana ini. hanya doa yang dipanjat moga ada pertemuan di jannah nanti. Allahuakhbar.
 
kepulangan ke kampung abadi sesungguhnya peristiwa yang menyentuh hati. kepulangan ke kampung abadi begitu menguji iman dalam diri. kepulangan ke kampung abadi begitu membuatkan diri dekat pada Ilahi. kepulangan ke kampung abadi sesungguhnya menunjukkan manusia hanya khalifah kerdil di muka bumi. 
 
sementelah buku "Ziarah Ke Alam Barzakh", yang saya miliki sejak setia mendengar program "Mau Izzati" di corong radio IKIM saban Khamis begitu bergetar dalam sanubari. usia yang dikurnia, nikmat yang diberi merupakan perjalanan menuju kepada Rabul Izzati. dan ianya sesungguhnya cukup menginsafkan sebagai bekal menempuh sarat uji. 
 
moga kita semua pulang ke kampung abadi dalam fitrah yang suci!

Tuesday 22 March 2016

Ulang Tahun Kami

alhamdulillah.
23 Mac datang lagi. buat kesekian kali.
syukur yang tidak terperi. kerana Allah al-Razzak al-Wahhab masih memanjangkan usia kami.
setiapkali menjelangnya 23 Mac, pasti kenangan melahirkan anakanda Zahra Kamila yang paling diingati. hadiah yang paling bermakna dalam hidup apabila saya dan anak sulung dapat meraikan hari lahir secara bersama-sama sejak tahun 2007 lagi.
 
untuk tahun ini, walau dalam kesibukan menguruskan pelbagai tuntutan kerja di kampus, pun tarikh 23 Mac tetap bersemadi dalam nubari. tarikh istimewa buat kami.
 
salam hari lahir anakanda Zahra Kamila Zaidi. ibu mendoakan yang baik-baik sahaja buat anakanda dalam merempuh kehidupan yang sarat uji. moga anakanda menjadi insan berguna buat agama, bangsa dan nusa dalam didikan mulia sebagai muslimah, solehah dan mukminah sejati. 
 
23 Mac 2016, anakanda sulung mencecah usia 9 tahun, dan saya 43 tahun, maha suci Allah atas segala kurnia dan nikmat yang tidak terhitung, dan ia sesungguhnya begitu berharga dan bermakna dalam diri sebelum pulang bertemu Ilahi!
 
 

Thursday 3 March 2016

Bengkel Rekayasa Kurikulum

Hanya lima tahun sekali.
Hanya lima tahun sekali ia bertukar dan mememerlukan penelitian yang teliti.
Ya, hanya lima tahun sekali.
 
 

Pusingan kali ini jatuh pada semester baru akan datang, Sesi 2016/2017 yang bakal menjelang.
Ya, September semester baru yang akan didatangi oleh pelajar baru akan menggunakan kurikulum baru.
Juateru, kami dikerah melakukan bengkel merekayasa kurikulum yang sedia ada. 
Selama lima minggu berturut-turut bengkel dilaksana.
Seusai peperiksaan akhir untuk semester pertama lagi, setelah para pelajar pulang ke desa, maka kami berkampung di bilik al-Hadi setiap hari. Bermula dari pagi sehingga petang.

Penat, bukan sekadar fikiran, bahkan perasaan dan tubuh badan.
Bukan kerja enteng. Bukan kerja main-main. Lantaran dalam gerak kerja berkumpulan, peri pentingnya kerjasama padu pada setiap ahli jabatan.
Pengalaman berbengkel selama lima minggu berturut-turut, dengan tuntutan kerja-kerja lain juga begitu mencabar keupayaan diri.
Pun, sepanjang tempoh itu begitu banyak pengalaman yang dipungut.

Hari ini, 4 Mac 2016, hampir dua bulan kami melaksanakan rekayasa kurikulum khususnya saya sebagai penyelaras program Bacelor Kesusasteraan Melayu, begitu sarat pengalaman yang dihadapi yang membuatkan diri tambah cekal berdepan dengan pelbagai situasi yang terpaksa diharungi.

Banyak kerja-kerja lain tertunda, dan kekadang tertuang emosi. Moga Allah SWT memberikan saya kekuatan yang tidak pernah padam dalam diri walau sedar usia dan masa begitu pantas pergi, berganti dan tidak menoleh lagi.

Thursday 14 January 2016

menjadi pengawas?

semasa di sekolah, pernahkah anda menyandang jawatan pengawas?
 
ya, menjadi pengawas. pengalaman menjadi pengawas kala di sekolah cukup mendidik seseorang tentang makna disiplin dan etika.
 
selain, peri pentingnya masa dalam mengendalikan urusan sebagai seorang pengawas. dan ia merupakan tanggungjawab yang besar dan berat yang harus digalas di pundak dengan sabar.
 
justeru, kala anakanda sulung, Zahra Kamila menyatakan dirinya dilantik menjadi pengawas sebaik sahaja pulang dari sekolah petang itu, saya terdiam sebentar.
 
"Ibu suka tak dengan berita gembira Ayong ini?", tanya kakak kepada tiga orang adik ini.
"Suka. Ibu suka tapi ibu nak ingatkan bahawa jawatan yang disandang bukan perkara main-main, tetapi ia merupakan amanah", tegas sekali jawapan saya walau sedar anak di depan mata hanya baru mencecah usia 9 tahun tanggal 23 Mac nanti.
 
jawatan. ia merupakan tanggungjawab. ia merupakan amanah. ia merupakan kesungguhan, dan kesabaran. dan paling utama ia merupakan kebijaksanaan dalam mengendalikan perjalanan urusan.

dan tetiba terkenang pengalaman saya menyandang jawatan pengawas sejak sekolah rendah, bermula dari darjah 4 sehingga 6 di sekolah kebangsaan binjai, kemaman. nostalgia indah menjadi pengawas bersama-sama dengan geng black cat, Fariza dan Yanti cukup meninggalkan manisnya memori.

kemudian, bersambung kala saya di sekolah menengah agama al-Falah, kemaman; dilantik menjadi pengawas sejak tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, begitu mencabar kewibawaan diri. nama "Kamariah Kamarudin" sinonim dengan ungkapan "tegas, garang, serius", dan macam-macam label kala menyandang jawatan pengawas dalam tempoh 5 tahun itu. dan paling lucu dan manis juga barangkali penyataan ini "satu sekolah kenal siapa Kamariah Kamarudin tapi Kamariah Kamarudin tentu tak ingat kesemua para pelajar di sekolah", yang membuatkan saya tersenyum sendirian pabila mengenangnya.

ya, menjadi pengawas. bukan perkara main-main. bukan perkara semudah yang dinyatakan. ia berat dan besar, diiringi dengan rasa tanggungjawab dan pengorbanan. dan alangkah malunya jika seorang pengawas, prestasi pelajarannya tercorot ke belakang. begitulah kenangan dan pengalaman kala kecil, dan remaja yang boleh saya kongsikan bersama dengan anak-anak, dan sesiapa sahaja yang diberikan amanah semasa di peringkat sekolah lagi.

menjelang dewasa begini, apa yang membelenggu diri tentulah "anda dilantik menjadi pengawas, tetapi sedarkah diri anda bahawa saban masa diri anda akan diawasi oleh orang lain?", penyataan yang benar-benar membuatkan diri insaf.

ya, berawaslah sentiasa bahawa saban masa kita diawas oleh Tuhan Yang Maha Pencipta!
 
 

Wednesday 13 January 2016

tempat kerja sebagai ladang pahala

pagi itu sebagaimana biasa, saya memandu ke kampus setelah menguruskan anak-anak. dua ke sekolah rendah, dan dua lagi ke tadika/taska. begitulah saban hari sebaik sahaja bangun dari tidur, rutin utama adalah memastikan urusan anak-anak selesai sebelum bergegas ke tempat kerja.
 
dan adakalanya sempat pula menyediakan bekal untuk mereka. sementelahan pula Kamila dan Khayra sudah pandai memesan makanan yang mereka gemari. begitu juga dengan Khalil, hero tunggal kami sudah tahu meminta ibunya menyediakan makanan untuk dibawa sebagai bekalan. oh anak-anak...
 
"jadikan tempat kerja sebagai ladang pahala, bukan ladang dosa", begitu ungkap Prof. Muhaya, tokoh Maal Hijrah peringkat Selangor 1437 Hijrah yang lalu. menerusi corong radio saluran kegemaran saya, IKIM f.m suaranya melantun hebat yang membuatkan saya tersentak. bagaikan baru lena daripada lamunan yang panjang pabila sebaris kata-katanya begitu merasuk perasaan.
 
ya. ladang pahala. bukan mudah.
 
setiap pagi ke tempat kerja. saban pagi memandu menuju tempat kita meraih rezeki untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarga. dalam seminggu, lima hari kita bekerja. hanya dua hari kita bersama-sama keluarga. justeru, dalam sebulan, masa kita lebih banyak dihabiskan di tempat kerja. tapi, bagaimana kita memanfaatkan masa di tempat kerja?
 
begitu tetiba fikiran saya menerawang bebas.  sepanjang saya bekerja, bolehkah saya meraih ladang pahala? Allah.

kegerunan merayap tetiba. bagaimana kita di tempat kerja?

penampilan diri, pergaulan antara rakan sekerja, ruang masa yang ada, dan lain-lain aktiviti di tempat kerja, sudahkah kita menyumbang untuk agama, dan seterusnya mengaut pahala?
 
masih sempatkah kita membelek al-Quran? dan menghayati terjemahan? dan mengamalkan apa yang disaran dalam Islam, dan apa yang ditegah oleh Tuhan?
 
Allah al-Muqsith (Yang Maha Adil), al-Muntaqim (Yang Maha Pembalas), al-Mughni (Yang Maha Pemberi Kekayaan), mohon awasi kami sepanjang berada di tempat kerja. mudah-mudahan kami dapat meraih sebanyak mungkin pahala.
 
 
 
 


 
 

Sunday 10 January 2016

maruah seorang wanita

hari ini, kaum wanita terlalu banyak terdedah dengan fitnah.
mengapa demikian?
 
ya, lantaran wanita itu umpama barang perhiasan. ini jelas tercatat dalam al-Quran bahawa andai wanita tidak tahu menjaga maruah, maka ia akan terdedah dengan pelbagai masalah. apa masalahnya?
 
bagi wanita bujang, jika tidak tahu menjaga diri maka akan senang diperdaya oleh kaum lelaki. apa yang menjadi tarikannya? gaya penampilan yang berlebihan, cara perbualan dan pergaulan yang keterlaluan dan usaha yang mengada-ngada antara tarikan yang ada pada wanita, yang menyebabkan kaum lelaki tersasar pertimbangan.
 
bagi wanita yang sudah berkeluarga, jika tidak maklumi tentang status dan gelaran, pasti kecundang di tangan lelaki. apa yang menjadi pancingannya? cara perhatian yang luar biasa, gaya perawakan yang berlebihan dan usaha yang melampau antara pancingan yang ada pada wanita, yang menjadikan kaum lelaki terpana keghairahan.
 
wanita. ya, wanita. andai tidak tahu menjaga diri, maka tersasar daripada landasan kehidupan beragama. hawa. ya, hawa. jika tidak tahu menjaga maruah, maka terseliuh daripada garisan panduan yang diajukan dalam Islam.
 
apakah yang telah dilandaskan dalam al-Quran sebagai panduan? apakah yang telah digariskan dalam hadis sebagai pedoman? 
 
maka bukalah al-Quran, hayatilah terjemahan. paling utama, sila baca surah yang khusus untuk wanita, surah an-Nisa' yang memerihalkan pelbagai kisah yang menginsafkan.
 
dunia akhir zaman; sekelompok lelaki berstatus "suami" berhubungan dengan wanita berstatus "isteri" bukan lagi kepelikan, segolongan wanita bergelar "isteri" berpacaran dengan lelaki bergelar "suami" bukan lagi kejanggalan. Allah, mohon berikan kami taufik wa hidayah dalam mengharung rencam pergulatan.
 
Rabb, campakkan amar makruf nahi mungkar terhadap kaum hawa agar maruah terpelihara sepanjang zaman!

Tuesday 5 January 2016

jangan sesekali mengalah

pernahkah anda diserang sakit setelah sekian lama sihat? pernahkah anda diserang besarnya ujian setelah sekian lama dihujani kejayaan dan kebahagiaan?
 
ya, pernah. kerana perjalanan hidup ini tidak semudah yang kita jangkakan. ada hari sihat, maka lawannya sakit. ada waktu kegirangan, maka lawannya kemurungan. lantaran hidup ini juga padang uji yang sarat cabaran dan sendat dugaan yang harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan, dan ketenangan.
 
mengeluh?
 
bukan itu kaedahnya.
 
merungut?
 
bukan itu cara solusinya.
 
maka, pada setiapkali kesedihan, kemurungan, kesakitan, kegetiran, kegelisahan, kekhuatiran, kesukaran, dan apa sahaja dugaan yang menimpa diri, usahlah ditambah lagi anasir negatif itu dalam hati.
 
berlapang dada. ya, berlapang dada pada setiap duga yang datang. berlapang dada pada setiap pancaroba yang menghunjam. kerana kita hanya hamba-Nya yang menumpang.
 
apa ubat yang paling mujarab?
 
selain pil andai diserang sakit, selain ubatan-ubatan lain yang dikatakan baik untuk memudahkan rawatan, ubat yang paling bermakna bagi melawan segala kegetiran yang melanda adalah sujud pada-Nya.
 
bacalah al-Quran. hayati terjemahan. renunglah dengan luasnya fikiran. seringlah menyebut nama Tuhan. makanan rohani yang paling ampuh adalah zikir dengan suara yang nyaring merasuk dalam ingatan. mohon ar-Rahim ar-Rahman berikan kekuatan. bangunlah malam. bersolatlah sebanyak mungkin yang termampukan. mohon Allah al-Raqib al-Majid al-Wajid kurniakan ketabahan. 
 
pabila dilanda dugaan cabaran dan ujian, jangan sesekali mengalah. lantaran rahmat Allah buat hamba-Nya tidak pernah bertepi dan seringkali singgah!
 
 

Monday 4 January 2016

anugerah terindah

apakah anugerah terindah dalam hidup yang kita punya?
dan ianya pemberian yang paling bermakna dalam jiwa?
banyak, tentunya.
maka, nikmat mana yang kamu dusta?
ayuh, silalah membelek surah ar-Rahman saban masa.
 
pun, salah satu daripadanya? 
apakah anugerah yang merasuk dalam dada?
 
saya?
tentang empat cahaya mata.
pemberian paling bermakna daripada-Nya.
 
dua daripadanya.
Kamila dan Khayra.
atau di rumah "ayong" dan "angah" nama timangannya.
dua anak gadis yang begitu membuatkan saya bahagia.
lantaran saya tidak punya adik beradik perempuan dalam keluarga.
terkenang zaman kanak-kanak yang sunyi dan hiba.
kini, Allah menganugerahkan nikmat tanpa dijangka.
maka, nikmat manakah yang kamu dusta?
dua anak gadis itu kini sahabat akrab saya.
dua anak gadis itu kini teman menangis dan tawa.
dua anak gadis itu kini karib yang selesa berkongsi cerita.
 
malahan dengan kehadiran Khalil dan Khalisha,
pelengkap hidup saya.
ya, serasa indahnya anugerah daripada-Nya.
 
justeru, pabila kita punya anugerah yang terindah dalam hidup, apakah yang seharusnya kita lakukan dalam diri dan upaya?
menghargai, ya menghargai dengan sesungguhnya.
mengasihani, ya mengasihani dengan sesungguhnya. 
mendoakanya, ya mendoakannya dengan sesungguhnya.

Rabb, mohon restu langkah kami dalam usaha melestari perjuangan dinul Islam dengan iman dan taqwa yang kejap kukuh mantap utuh dalam jiwa.

Usah sesekali biarkan kami menyimpang, dan biarkan kami tumbang pabila menerima ujian dugaan cabaran yang sekelumit  kerana kami hanya hamba-Mu yang hina.

Ayuh, bersyukur dengan anugerah terindah yang kita punya.
 
 

kita merancang, Allah jua merancang

menjelang tahun baru masihi 2016, banyak perancangan yang mengisi catatan. ya, khususnya dalam urusan penulisan dan penerbitan. itu kepakaran, dan minat yang mendalam sejak belum bergelar pendidik di kampus, dan setelah menjadi pensyarah kepada ratusan mahasiswa saban tahun. dan setelah memakai baju akademia, tanggungjawab menulis makin berganda, dan memerlukan.
 
menulis, dengan perutusan.
ya, menulis merupakan nadi kehidupan.
memang, kalau tidak dapat menulis, dan meluahkan, saya rasa tidak senang.
adakalanya tidak tenang.
kegelisahan bertandang.
apa yang terbuku dalam fikiran, apa yang menganggu perasaan, apa yang perlu dicatatkan.
 
musabab itu apabila saya diarahkan untuk mengajar kursus Penglahiran Bakat Kreatif di kampus, yang menjadi kursus wajib mahasiswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ia merupakan gerakan atau gesaan atau dorongan untuk saya terus merapikan dunia penulisan.
 
dengan lebih intim, dan prolifik yang berpanjangan.
apa yang saya kuliahkan kepada para mahasiswa, moga menjadi kekuataan untuk diri sendiri meneruskan perjuangan.
berjuang dengan pena untuk menyampaikan perutusan.
sama ada tulisan ilmiah mahupun kreatif yang perlu menjadi tujuan.
 
meneroka kedua-dua bidang.
bukan mudah sebenarnya untuk mengekalkan prestasi dan pencapaian.
lantaran menulis untuk ilmiah dan kreatif punya cara yang tersendiri dan kelainan.
 
pun, apabila ia diterbitkan.
pasti hati berbunga yang tidak terungkapkan.
perancangan.
ya, perancangan saya untuk penerbitan; Kumpulan Cerpen Catatan Cinta Anakanda Ayahanda, Surat Dua Sahabat (Bersama dengan Dr. Fariza Khalid), Buku Sastera dalam Kritikan (Bersama Prof. Madya Dr. Mawar Safei dan Dr. Tengku Intan Marlina), Proses Kreatif Mantan Penulis Wanita Minggu Remaja (Selenggara saya bertiga), dan...
 
banyak sesungguhnya dalam perancangan.
hanya untuk tahun 2016 yang masih baru, dan di awal tahun.
doa moga dimudahkan.
doa moga diberi kebaikan dalam kesihatan.
doa moga diberi kekuatan dan ketabahan.
doa moga diberi kelancaran.
doa moga ianya menjadi kenyataan.
 
kita merancang, Allah jua merancang.
mudah-mudahan perancangan ini dapat direalisasikan.
kepada-Nya kita meminta, berharap dan memohon.
 
sehingga tiba nafas direnggut untuk kembali bertemu Yang Maha Pencipta dalam kedamaian dan husnul khotimah, moga sahaja penerbitan ini menjadi khazanah buat anak bangsa untuk rujukan dan pedoman.
 
moga, ianya dimakbulkan!

Saturday 2 January 2016

tentang pindah

sahabat akrab saya, Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali, pensyarah di Universiti Malaya selamat menjadi warga Bangi tanggal penghujung Disember. menurutnya, pindahnya kali ini merupakan peperindahan yang kelapan dalam sejarah hidupnya. wah!
 
saya juga menghitung-hitung perpindahan diri sejak hari pertama menamatkan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiyi Malaya pada tahun 1988 sehingga kini. ya, jika dihitung-hitung jumlah perpindahan saya sama jumlahnya dengan sahabat saya itu.
 
kali pertama saya menyewa setelah tamat pengajian di Subang Jaya bersama 4 orang sahabat lain, iaitu Aya, Nana, June dan Nik. Aya merupakan sahabat sepengajian saya di Jabatan Pengajian Media. Nana pula jurusan ekonomi, Manakala June dan Nik merupakan graduan lepasan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat. kami berempat dari kampus Lembah Pantai yang punya banyak kenangan dan pengalaman. tak lama tinggal di situ lantaran saya mendapat kerja sebagai wartawan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd, Taman Tun Dr. Ismail. lantaran itu, saya berpindah ke Seksyen 16, Petaling Jaya kerana memudahkan urusan pergerakan ke tempat kerja dan urusan pengajian di UKM, Bangi. ya, pada masa yang sama saya menyambung pengajian master di sana.
 
di seksyen 16, saya tinggal bersama 3 sahabat lain, iaitu kak Faridah Hanim, Hartini dan Azie (kedua-duanya anak gadis Kelantan). ketiga-tiga sahabat penyewa ini juga merupakan lulusan Universiti Malaya. pengalaman yang tidak dilupakan apabila ada seorang Pak Cik (mungkin pemilik rumah sewa, saya sudah lupa) amat mengambil berat tentang kami. Pak Cik tersebut tinggal bertentangan dengan rumah sewa kami. dan paling teruja pastilah ayah yang datang ke situ ketika melawat saya akan bersembang mesra dengan pak cik tersebut. tidak lama kemudian, saya berpindah lagi setelah ayah memberikan kereta iswara sedan untuk memudahkan pergerakan saya ke kampus Bangi. kali ini saya berpindah ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur. kali ini saya hanya menyewa dengan seorang kakak yang baru pulang dari USA, iaitu Hasnita, anak Kedah Darul Aman yang memegang jawatan besar di syarikat gergasi milik Barat di Taman Tun Dr. Ismail. kak Hasnita ini agak moden, tetapi ciri kekampungan masih tebal, dengan sesekali berinteraksi menggunakan dialek negeri asalnya dengan saya. beliau juga amat ramah menyapa tatkala saya buntu dalam pengajian walaupun kami hanya baru berkenalan. hampir setahun di situ, kala menyudahkan penulisan tesis master, saya pindah lagi.
 
kali ini bukan di bandaraya Kuala Lumpur lagi, tetapi di pinggirannya. setelah saya memperoleh tawaran menyambung pengajian doktor falsafah dan berkhidmat di kampus Serdang, saya menyewa pula di Taman Universiti, Seri Kembangan. kali ini saya menyewa bersama dengan dua kawan baru yang tidak tahu latar belakangnya; hanya seminggu, ya menetap dan menyewa paling singkat kerana salah seorang kawan baru itu membawa teman lelakinya tidur bersama di biliknya. Allahu Akhbar!
 
saya bersegera menelefon emak dan ayah untuk mewartakan berita. memang saya takut dan gerun. maklum sahaja saya gadis kampung yang sering terpahat "dosa" dan "pahala" yang dipesan oleh emak. memang saya mempunyai ramai sahabat termasuk sahabat lelaki, tetapi kami punya batasan dalam pergaulan. malah, kami faham etika dalam persahabatan. justeru, kali ini ayah dan emak nekad mencari rumah sewa yang hanya menempatkan saya seorang tanpa bergantung kepada penghuni lain. pengalaman ngeri menyewa di Seri Kembangan begitu menghantui. alhamdulillah, saya ketemu sebuah rumah yang mempunyai hanya dua bilik di Serdang Raya. rumah kos rendah itu bersesuaian dengan kemampuan dan citarasa saya; sewa bulanan RM500.
 
kali ini "housemate" saya merupakan adik saya sendiri, Samsul Kahar. ketika itu saya baru sahaja mendaftarkan diri di Akademi Pengajian Melayu sebagai pelajar Ph.Dm dan Kahar merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya. dalam keterpaksaan, adinda saya itu akur dengan perintah emak dan ayah. "kasian kak Ngah", dua patah kata emak. disambung ayah pula "tak payahlah dia menyewa dengan entah siapa-siapa, eloklah engkau sebagai adiknya di sini, dan memudahkan emak dan ayah datang", panjang pula bicara ayah.
 
ya, bermulalah episod adinda bongsu saya, satu-satunya adik saya menjadi "housemate" saya setelah pengalaman menyewa bersama-sama orang yang tidak dikenali begitu menyakitkan hati. hampir dua tahun saya menyewa di situ, banyak pengalaman juga yang saya peroleh. terutama di lorong itu semuanya sudah berkeluarga, dan rata-rata mereka suka memerhati pergerakan kami. ya, tidak mengapa, kerana di kawasan perumahan itu suasananya seperti kampung.
 
pindah seterusnya ke Bandar Baru Bangi. saya menyewa di seksyen 8 sementara menunggu rumah yang dibeli juga di seksyen 8 siap sepenuhnya. saya menyewa di situ hampir setahun dengan kondisi rumah baru yang menyenangkan. kali ini adik saya juga turut bersama-sama saya menetap di situ. dan, perpindahan kali ketujuh ialah pindah ke rumah yang dibeli sendiri dengan pinjaman bank swasta. alhamdulillah, ayah dan emak banyak menyumbang kerana pada waktu itu saya masih bujang. segala urusan "naik rumah baru" dilakukan ayah dan adik bongsu. lega. akhirnya setelah beberapakali pindah, akhirnya saya peroleh rumah sendiri.
 
dan perpindahan kali kelapan, mungkin perpindahan yang terakhir setelah saya memiliki tiga anak, dan bakal melahirkan anak keempat ke Bangi Golf Resort ini. maka, segala urusan kali ini diuruskan suami. ya, pindah ke rumah sendiri dalam suasana yang berbahagia sekali.
 
tentang pindah. ya, tentang pindah di muka bumi Tuhan. banyak pengalaman yang mendewasakan. dan ianya mengingatkan saya tentang pindah manusia ke alam barzakh, dan ianya merupakan pindah yang kekal, abadi dan menginsafkan. 
 
Rabb, mohon pindah kami ke alam kekal kelak pindah yang mendamaikan dan paling mengindahkan!

Friday 1 January 2016

fikirkan positif!

banyak perkara dalam hidup ini kekadang membuatkan dri luntur semangat. walau tahun berganti, bulan mengisi hari dan masa beredar pergi, pun diri kekadang dihempap rasa sedih berpanjangan. pabila dugaan demi dugaan datang bertubi-tubi, kekadang tidak mampu melawan gerombolan ombak yang datang.
 
tetapi ingatlah bahawa sememangnya hidup ini padang uji!
 
bagi orang yang beriman, terimalah seadanya dugaan dan cabaran dan ujian yang merentang sepanjang perjalanan di atas muka bumi ini dengan ketenangan, dan pokok utama dengan kesabaran.
 
sentiasa fikirkan positif. sentiasa berfikir perkara yang baik-baik sahaja. usah mudah putus asa. lantaran ujian dugaan dan cabaran kepada seseorang Muslim tanda sayangnya Allah al-Qawi al-Muhyi al-Sami' ke atas hamba-hamba-Nya.
 
dan pesan seorang penyair tanahair: "sentiasalah tersenyum pada setiap yang harus ditangiskan", yang seharusnya dijadikan sandaran dan kekuataan untuk mengharung hari muka.sentiasa pahatkan dalam diri ungkapan sabar, sabar dan sabar.
 
dan pabila kerungsingan melanda, ambillah wudu', beleklah al-Quran, baca dan hayati terjemahannya. pasti, ketenangan itu akan digapai. dan, pasti pula fikiran menjadi positif dengan segala ketentuan-Nya.