Wednesday 13 January 2016

tempat kerja sebagai ladang pahala

pagi itu sebagaimana biasa, saya memandu ke kampus setelah menguruskan anak-anak. dua ke sekolah rendah, dan dua lagi ke tadika/taska. begitulah saban hari sebaik sahaja bangun dari tidur, rutin utama adalah memastikan urusan anak-anak selesai sebelum bergegas ke tempat kerja.
 
dan adakalanya sempat pula menyediakan bekal untuk mereka. sementelahan pula Kamila dan Khayra sudah pandai memesan makanan yang mereka gemari. begitu juga dengan Khalil, hero tunggal kami sudah tahu meminta ibunya menyediakan makanan untuk dibawa sebagai bekalan. oh anak-anak...
 
"jadikan tempat kerja sebagai ladang pahala, bukan ladang dosa", begitu ungkap Prof. Muhaya, tokoh Maal Hijrah peringkat Selangor 1437 Hijrah yang lalu. menerusi corong radio saluran kegemaran saya, IKIM f.m suaranya melantun hebat yang membuatkan saya tersentak. bagaikan baru lena daripada lamunan yang panjang pabila sebaris kata-katanya begitu merasuk perasaan.
 
ya. ladang pahala. bukan mudah.
 
setiap pagi ke tempat kerja. saban pagi memandu menuju tempat kita meraih rezeki untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarga. dalam seminggu, lima hari kita bekerja. hanya dua hari kita bersama-sama keluarga. justeru, dalam sebulan, masa kita lebih banyak dihabiskan di tempat kerja. tapi, bagaimana kita memanfaatkan masa di tempat kerja?
 
begitu tetiba fikiran saya menerawang bebas.  sepanjang saya bekerja, bolehkah saya meraih ladang pahala? Allah.

kegerunan merayap tetiba. bagaimana kita di tempat kerja?

penampilan diri, pergaulan antara rakan sekerja, ruang masa yang ada, dan lain-lain aktiviti di tempat kerja, sudahkah kita menyumbang untuk agama, dan seterusnya mengaut pahala?
 
masih sempatkah kita membelek al-Quran? dan menghayati terjemahan? dan mengamalkan apa yang disaran dalam Islam, dan apa yang ditegah oleh Tuhan?
 
Allah al-Muqsith (Yang Maha Adil), al-Muntaqim (Yang Maha Pembalas), al-Mughni (Yang Maha Pemberi Kekayaan), mohon awasi kami sepanjang berada di tempat kerja. mudah-mudahan kami dapat meraih sebanyak mungkin pahala.
 
 
 
 


 
 

No comments:

Post a Comment