Tuesday 5 January 2016

jangan sesekali mengalah

pernahkah anda diserang sakit setelah sekian lama sihat? pernahkah anda diserang besarnya ujian setelah sekian lama dihujani kejayaan dan kebahagiaan?
 
ya, pernah. kerana perjalanan hidup ini tidak semudah yang kita jangkakan. ada hari sihat, maka lawannya sakit. ada waktu kegirangan, maka lawannya kemurungan. lantaran hidup ini juga padang uji yang sarat cabaran dan sendat dugaan yang harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan, dan ketenangan.
 
mengeluh?
 
bukan itu kaedahnya.
 
merungut?
 
bukan itu cara solusinya.
 
maka, pada setiapkali kesedihan, kemurungan, kesakitan, kegetiran, kegelisahan, kekhuatiran, kesukaran, dan apa sahaja dugaan yang menimpa diri, usahlah ditambah lagi anasir negatif itu dalam hati.
 
berlapang dada. ya, berlapang dada pada setiap duga yang datang. berlapang dada pada setiap pancaroba yang menghunjam. kerana kita hanya hamba-Nya yang menumpang.
 
apa ubat yang paling mujarab?
 
selain pil andai diserang sakit, selain ubatan-ubatan lain yang dikatakan baik untuk memudahkan rawatan, ubat yang paling bermakna bagi melawan segala kegetiran yang melanda adalah sujud pada-Nya.
 
bacalah al-Quran. hayati terjemahan. renunglah dengan luasnya fikiran. seringlah menyebut nama Tuhan. makanan rohani yang paling ampuh adalah zikir dengan suara yang nyaring merasuk dalam ingatan. mohon ar-Rahim ar-Rahman berikan kekuatan. bangunlah malam. bersolatlah sebanyak mungkin yang termampukan. mohon Allah al-Raqib al-Majid al-Wajid kurniakan ketabahan. 
 
pabila dilanda dugaan cabaran dan ujian, jangan sesekali mengalah. lantaran rahmat Allah buat hamba-Nya tidak pernah bertepi dan seringkali singgah!
 
 

1 comment:

  1. Salam tuan rumah!!
    Maaflah baru hari ni sempat menziarah rumah barumu! Ternyata nyaman sekali!!!

    Oh oh mana the panas bersama madu buatku? :)

    ReplyDelete