Saturday 2 January 2016

tentang pindah

sahabat akrab saya, Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali, pensyarah di Universiti Malaya selamat menjadi warga Bangi tanggal penghujung Disember. menurutnya, pindahnya kali ini merupakan peperindahan yang kelapan dalam sejarah hidupnya. wah!
 
saya juga menghitung-hitung perpindahan diri sejak hari pertama menamatkan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiyi Malaya pada tahun 1988 sehingga kini. ya, jika dihitung-hitung jumlah perpindahan saya sama jumlahnya dengan sahabat saya itu.
 
kali pertama saya menyewa setelah tamat pengajian di Subang Jaya bersama 4 orang sahabat lain, iaitu Aya, Nana, June dan Nik. Aya merupakan sahabat sepengajian saya di Jabatan Pengajian Media. Nana pula jurusan ekonomi, Manakala June dan Nik merupakan graduan lepasan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat. kami berempat dari kampus Lembah Pantai yang punya banyak kenangan dan pengalaman. tak lama tinggal di situ lantaran saya mendapat kerja sebagai wartawan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd, Taman Tun Dr. Ismail. lantaran itu, saya berpindah ke Seksyen 16, Petaling Jaya kerana memudahkan urusan pergerakan ke tempat kerja dan urusan pengajian di UKM, Bangi. ya, pada masa yang sama saya menyambung pengajian master di sana.
 
di seksyen 16, saya tinggal bersama 3 sahabat lain, iaitu kak Faridah Hanim, Hartini dan Azie (kedua-duanya anak gadis Kelantan). ketiga-tiga sahabat penyewa ini juga merupakan lulusan Universiti Malaya. pengalaman yang tidak dilupakan apabila ada seorang Pak Cik (mungkin pemilik rumah sewa, saya sudah lupa) amat mengambil berat tentang kami. Pak Cik tersebut tinggal bertentangan dengan rumah sewa kami. dan paling teruja pastilah ayah yang datang ke situ ketika melawat saya akan bersembang mesra dengan pak cik tersebut. tidak lama kemudian, saya berpindah lagi setelah ayah memberikan kereta iswara sedan untuk memudahkan pergerakan saya ke kampus Bangi. kali ini saya berpindah ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur. kali ini saya hanya menyewa dengan seorang kakak yang baru pulang dari USA, iaitu Hasnita, anak Kedah Darul Aman yang memegang jawatan besar di syarikat gergasi milik Barat di Taman Tun Dr. Ismail. kak Hasnita ini agak moden, tetapi ciri kekampungan masih tebal, dengan sesekali berinteraksi menggunakan dialek negeri asalnya dengan saya. beliau juga amat ramah menyapa tatkala saya buntu dalam pengajian walaupun kami hanya baru berkenalan. hampir setahun di situ, kala menyudahkan penulisan tesis master, saya pindah lagi.
 
kali ini bukan di bandaraya Kuala Lumpur lagi, tetapi di pinggirannya. setelah saya memperoleh tawaran menyambung pengajian doktor falsafah dan berkhidmat di kampus Serdang, saya menyewa pula di Taman Universiti, Seri Kembangan. kali ini saya menyewa bersama dengan dua kawan baru yang tidak tahu latar belakangnya; hanya seminggu, ya menetap dan menyewa paling singkat kerana salah seorang kawan baru itu membawa teman lelakinya tidur bersama di biliknya. Allahu Akhbar!
 
saya bersegera menelefon emak dan ayah untuk mewartakan berita. memang saya takut dan gerun. maklum sahaja saya gadis kampung yang sering terpahat "dosa" dan "pahala" yang dipesan oleh emak. memang saya mempunyai ramai sahabat termasuk sahabat lelaki, tetapi kami punya batasan dalam pergaulan. malah, kami faham etika dalam persahabatan. justeru, kali ini ayah dan emak nekad mencari rumah sewa yang hanya menempatkan saya seorang tanpa bergantung kepada penghuni lain. pengalaman ngeri menyewa di Seri Kembangan begitu menghantui. alhamdulillah, saya ketemu sebuah rumah yang mempunyai hanya dua bilik di Serdang Raya. rumah kos rendah itu bersesuaian dengan kemampuan dan citarasa saya; sewa bulanan RM500.
 
kali ini "housemate" saya merupakan adik saya sendiri, Samsul Kahar. ketika itu saya baru sahaja mendaftarkan diri di Akademi Pengajian Melayu sebagai pelajar Ph.Dm dan Kahar merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya. dalam keterpaksaan, adinda saya itu akur dengan perintah emak dan ayah. "kasian kak Ngah", dua patah kata emak. disambung ayah pula "tak payahlah dia menyewa dengan entah siapa-siapa, eloklah engkau sebagai adiknya di sini, dan memudahkan emak dan ayah datang", panjang pula bicara ayah.
 
ya, bermulalah episod adinda bongsu saya, satu-satunya adik saya menjadi "housemate" saya setelah pengalaman menyewa bersama-sama orang yang tidak dikenali begitu menyakitkan hati. hampir dua tahun saya menyewa di situ, banyak pengalaman juga yang saya peroleh. terutama di lorong itu semuanya sudah berkeluarga, dan rata-rata mereka suka memerhati pergerakan kami. ya, tidak mengapa, kerana di kawasan perumahan itu suasananya seperti kampung.
 
pindah seterusnya ke Bandar Baru Bangi. saya menyewa di seksyen 8 sementara menunggu rumah yang dibeli juga di seksyen 8 siap sepenuhnya. saya menyewa di situ hampir setahun dengan kondisi rumah baru yang menyenangkan. kali ini adik saya juga turut bersama-sama saya menetap di situ. dan, perpindahan kali ketujuh ialah pindah ke rumah yang dibeli sendiri dengan pinjaman bank swasta. alhamdulillah, ayah dan emak banyak menyumbang kerana pada waktu itu saya masih bujang. segala urusan "naik rumah baru" dilakukan ayah dan adik bongsu. lega. akhirnya setelah beberapakali pindah, akhirnya saya peroleh rumah sendiri.
 
dan perpindahan kali kelapan, mungkin perpindahan yang terakhir setelah saya memiliki tiga anak, dan bakal melahirkan anak keempat ke Bangi Golf Resort ini. maka, segala urusan kali ini diuruskan suami. ya, pindah ke rumah sendiri dalam suasana yang berbahagia sekali.
 
tentang pindah. ya, tentang pindah di muka bumi Tuhan. banyak pengalaman yang mendewasakan. dan ianya mengingatkan saya tentang pindah manusia ke alam barzakh, dan ianya merupakan pindah yang kekal, abadi dan menginsafkan. 
 
Rabb, mohon pindah kami ke alam kekal kelak pindah yang mendamaikan dan paling mengindahkan!

2 comments: