Thursday 14 January 2016

menjadi pengawas?

semasa di sekolah, pernahkah anda menyandang jawatan pengawas?
 
ya, menjadi pengawas. pengalaman menjadi pengawas kala di sekolah cukup mendidik seseorang tentang makna disiplin dan etika.
 
selain, peri pentingnya masa dalam mengendalikan urusan sebagai seorang pengawas. dan ia merupakan tanggungjawab yang besar dan berat yang harus digalas di pundak dengan sabar.
 
justeru, kala anakanda sulung, Zahra Kamila menyatakan dirinya dilantik menjadi pengawas sebaik sahaja pulang dari sekolah petang itu, saya terdiam sebentar.
 
"Ibu suka tak dengan berita gembira Ayong ini?", tanya kakak kepada tiga orang adik ini.
"Suka. Ibu suka tapi ibu nak ingatkan bahawa jawatan yang disandang bukan perkara main-main, tetapi ia merupakan amanah", tegas sekali jawapan saya walau sedar anak di depan mata hanya baru mencecah usia 9 tahun tanggal 23 Mac nanti.
 
jawatan. ia merupakan tanggungjawab. ia merupakan amanah. ia merupakan kesungguhan, dan kesabaran. dan paling utama ia merupakan kebijaksanaan dalam mengendalikan perjalanan urusan.

dan tetiba terkenang pengalaman saya menyandang jawatan pengawas sejak sekolah rendah, bermula dari darjah 4 sehingga 6 di sekolah kebangsaan binjai, kemaman. nostalgia indah menjadi pengawas bersama-sama dengan geng black cat, Fariza dan Yanti cukup meninggalkan manisnya memori.

kemudian, bersambung kala saya di sekolah menengah agama al-Falah, kemaman; dilantik menjadi pengawas sejak tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, begitu mencabar kewibawaan diri. nama "Kamariah Kamarudin" sinonim dengan ungkapan "tegas, garang, serius", dan macam-macam label kala menyandang jawatan pengawas dalam tempoh 5 tahun itu. dan paling lucu dan manis juga barangkali penyataan ini "satu sekolah kenal siapa Kamariah Kamarudin tapi Kamariah Kamarudin tentu tak ingat kesemua para pelajar di sekolah", yang membuatkan saya tersenyum sendirian pabila mengenangnya.

ya, menjadi pengawas. bukan perkara main-main. bukan perkara semudah yang dinyatakan. ia berat dan besar, diiringi dengan rasa tanggungjawab dan pengorbanan. dan alangkah malunya jika seorang pengawas, prestasi pelajarannya tercorot ke belakang. begitulah kenangan dan pengalaman kala kecil, dan remaja yang boleh saya kongsikan bersama dengan anak-anak, dan sesiapa sahaja yang diberikan amanah semasa di peringkat sekolah lagi.

menjelang dewasa begini, apa yang membelenggu diri tentulah "anda dilantik menjadi pengawas, tetapi sedarkah diri anda bahawa saban masa diri anda akan diawasi oleh orang lain?", penyataan yang benar-benar membuatkan diri insaf.

ya, berawaslah sentiasa bahawa saban masa kita diawas oleh Tuhan Yang Maha Pencipta!
 
 

2 comments:

  1. Kenangan di SKB yang sentiasa disimpan dalam ingatan :)

    ReplyDelete
  2. Ya, melihat keletah dan ragam anak-anakku di alam persekolahan rendah begitu mengenang kembali memori kita kala di bangku sekolah. Ya, sekolah kebangsaan binjai tetap bersemi dalam manisnya ingatan!

    ReplyDelete