Saturday 11 June 2016

Ramadhan, dan memori

apakah yang paling manis sepanjang tempoh Ramadhan yang dilalui?
 
bagaimanakah kenangan yang manis itu anda pahatkan dalam memori? sepanjang tempoh Ramadhan yang diharungi itu, adakah segala pengalaman dan kenangan itu anda biarkan sahaja ianya berlalu pergi?
 
Ramadhan, dan serangkum memori, amat banyak untuk dicatat dan dikongsi.
 
manis, memang manis, dan memberikan makna dalam usia yang mencecah angka 40-an ini. pabila melihat dua Zahra saya, Kamila dan Khayra berpuasa, membuatkan diri terkenang pengalaman berpuluh tahun alam kanak-kanak yang telah ditinggalkan, pun tetap terpahat dalam nubari.
 
Hari ini, sudah menyusur 7 Ramadhan, begitu pantas masa pergi, dan usia kita juga berganti, persis angin, ianya tidak pernah berhenti berlari, dan jauh meninggalkan diri.

 


Pabila dewasa begini, bukan lagi apakah juadah yang perlu difikirkan untuk berbuka pada petang nanti. Pabila usia sudah memangkah angka 40 lebih, bukan lagi hitungan detik berbuka dengan hidangan yang enak sekali. Pabila menghampiri usia 50, bukan lagi bilangan hari untuk menyambut Syawal dengan keterujaan merantai diri.
 
bukan, bukan, semuanya bukan sebagaimana anak-anak kecil yang memikirkan kedatangan raya, dan menghitung detik Ramadhan berlalu pergi.
 
pabila dalam usia begini, seringkali yang menghantui diri pastilah ketakutan, kegusaran, kegerunan, keracauan dan kegentaran setiapkali menjelangnya Ramadhan yang berganti, apakah pengisiannya makin berganda buat menyubur pahala, mengugur dosa tatkala bertemu Ilahi.
 
makin bertambahkah amalan buat menyinar muka bumi? makin bergandakah ganjarannya daripada sehari ke sehari? makin banyakkah noda dibiarkan bermukim dalam hati sedangkan maklum Ramadhan amat bermakna dalam jiwa Muslim sejati.

Allahurabbi.
 
Ramadhan, dan memori.
 
Mudah-mudahan Allah al-Fattah al-Wahhab al-Razzak melapangkan diri untuk berbakti dengan sesungguhnya demi mengaut berganda amalan dan pahala sepanjang tempoh Ramadhan tahun ini. walau apa sahaja status diri; wanita, isteri, ibu dan hamba yang menumpang di bumi Tuhan sebelum pulang bertemu-Nya di kampung abadi!
 
 

 
 

Tuesday 7 June 2016

Percutian Kami

lama tidak bercuti secara beramai. sejak emak di kerusi roda, sejak Khalisha lahir, dan sejak saya diburu waktu, memang kami sekeluarga tidak berkesempatan bercuti.

kali ini, sempena cuti sekolah, sempena minggu terakhir kuliah, kami mengambil kesempatan untuk bercuti. setelah dirancang oleh adinda saya, Samsul Kahar yang ingin membawa emak dan ayah ke negeri yang terkenal dengan jolokan "Bandaraya Bersejarah".

adinda bongsu saya ini menguruskan segalanya. daripada bilik penginapan sehinggalah program perjalanan, dialah yang mengepalainya.

dengan tiga buah kereta, kami tiga keluarga termasuk emak dan ayah bergerak serentak melepasi lebuhraya. destinasi pertama, Restoren Asam Pedas Selera Kampung, diikuti Hotel Swiss Garden, malamnya menyusuri Sungai Melaka dengan bot. Hari kedua, Zoo Melaka, dan malamnya ke Restoren Deli Muara, Umbai untuk menikmati ikan bakar. Hari ketiga, Masjid al-Azim untuk melihat Pameran Ketamadunan Islam.

tiga hari dua malam dirasakan begitu singkat lantaran banyak lokasi yang belum diteroka. sementelahan pula saya dan suami sudah hampir lima tahun tidak ke Melaka. ternyata begitu banyak perubahan dan pembangunan yang begitu pesat dan drastik.

apakah ole-ole yang dibawa pulang? kata Kamila, anakanda sulung, "banyak yang Ayong nak tulis nanti". ya, banyak yang hendak ditulis yang tidak terungkap dengan kata-kata. terutama pabila melihat hati emak berbunga pabila dapat peluang bercuti bersama anak-anak dan cucu-cucunya. 

asam pedas, dodol, sungai Melaka, dan kenangan kami adik-beradik bersatu dalam mekarnya senyuman dalam perjalanan pulang meredah lebuhraya pada petang Jumaat nan baraqah. moga ada pertemuan kembali, dan bercuti lagi dan ukhwah antara kami kekal mewangi hingga syurgawi! 

 

Monday 16 May 2016

Tanggal 16 Mei

saban tahun, tanggal 16 Mei tidak pernah luput daripada ingatan. sementelah saya dibesarkan dalam keluarga pendidik, maka tarikh itu sentiasa tersimpan rapi dalam hati. masih teringat bagaimana emak, Cikgu Hajah Sa'adiah akan pulang dengan pelbagai ole-ole dan hadiah yang diberikan oleh para pelajar yang menyayanginya. ya, sejak kecil saya tahu emak punya pelajar yang amat menghargainya sebagai seorang guru. natijahnya, tanggal 16 Mei merupakan kemuncak penghargaan dan rasa kasih itu diberikan kepada gurunya. lantaran emak dengan penuh kesabaran dan limpahan kasih juga mendidik anak-anak muridnya saban masa sehingga tamat kariernya pada tahun 1996.

berbanding ayah, Cikgu Haji Kamarudin yang agak garang dan bergelar guru besar, maka tanggal 16 Mei jarang sekali dibawa pulang hadiah. oh, kenangan kala musim kanak-kanak yang tetap terpahat dalam nubari.

dan kini, setelah 10 tahun berkhidmat sebagai pensyarah, tanggal 16 Mei walaupun  ditujukan  khas buat guru, namun sebenarnya ia patut diraikan buat semua pendidik di muka bumi ini. tanggal 16 Mei seharusnya diraikan lantaran untuk memberikan inspirasi kepada para pendidik bahawa ada satu momen yang patut dikenang oleh orang lain kerana amanah dan tanggungjawab yang tersandang di bahu.

tahun ini, saya menerima pelbagai catatan di telefon pintar tentang hari guru. tentang bagaimana ingatan, harapan, pesanan, dan titipan daripada anak didik dan kenalan tentang sambutan 16 Mei.

ya, setelah 10 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan, dan setelah 43 tahun bergelut dalam keluarga pendidik, maka, mesejnya jelas buat saya bahawa betapa besarnya amanah yang perlu direalisasikan. 

tanggal 16 Mei, bukan sahaja para pendidik rasa dihargai bahkan para pendidik juga perlu bermuhasabah sejauh mana tanggungjawab mendidik dapat diuruskan dengan sempurna. ya, sebelum pulang bertemu-Nya, apakah nanti jawapan yang harus dinyatakan pabila disoal?

dan sesungguhnya selautan terima kasih buat semua guru saya; Sekolah Kebangsaan Chukai, Sekolah Kebangsaan Binjai, Sekolah Menengah Agama al-Falah, Sekolah Menengah Chukai, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. kalian amat bermakna dalam jiwa, dan saya mendoakan kebahagiaan dan kebaikan atas segala budi dan jasa. moga kita semua berhimpun di jannah dalam wangian harumnya doa!

 

Sunday 15 May 2016

13 Mei 2006-13 Mei 2016

apakah yang dapat dikutip daripada pantasnya pergerakan angka? apakah yang dapat dipungut daripada tangkasnya peredaran masa dan usia?

banyak sekali untuk diri bermuhasabah, dan merenung tentang anugerah-Nya.

alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun usia perkahwinan saya. begitu tidak menyangka. dalam tempoh 10 tahun banyak yang Allah kurnia. nikmat paling utama adalah kelahiran 4 anakanda dalam sibuk dan kelibut menguruskan rumahtangga. keletah dan kerenah mereka yang sentiasa ceria dan sesekali bertengkar begitu menggamatkan ruang rumah seadanya.

maka, nikmat manakah yang kamu dusta wahai manusia?

ternyata, surah ar-Rahman begitu membekas dalam jiwa. menendang-nendang sukma. dan pastinya kala menatap surah tersebut dan mengulang baca menyebabkan tumpahnya air mata.

10 tahun bukan tempoh yang singkat dalam urusan yang sarat saban masa. gelora yang datang juga bukan senang untuk menanganinya. sementelah ujian yang sesekali menggoda. apa kekuatannya? tentulah kesabaran yang berganda.

selain, mohonlah doa pada-Nya. mohon diberikan seribu cahaya. seribu cahaya buat menerangi ahli keluarga. agar kesemuanya dalam lindungan sentiasa.

terima kasih sesungguhnya buat cinta hati saya, Zaidi Haji Muhammad yang sentiasa bersiap siaga. beliau sentiasa di sisi kala duka dan bahagia. beliau sentiasa di sisi kala kecewa dan gembira. dan paling bermakna, beliau menerima kekurangan dan kekhilafan saya dengan berlapang dada.

buat anakanda berempat pastinya; Kamila, Khayra, Khalil dan Khalisha yang sering membugar semangat ibunya mengejar cita-cita walau berdepan dengan rona duga. 

Rabb, sejauh perjalanan masa yang kami harungi, moga sahaja destinasinya dipercik wangian jannah untuk kami berhimpun bersama. Allah, mohon terima doa hamba-Mu yang kerdil cuma!

Wednesday 4 May 2016

Kepulangan Ke Kampung Abadi

seingatan saya, allahyarham bapa mentua, iaitu Haji Muhammad Haji Mokhtar merupakan ahli keluarga yang pergi bertemu-Nya dalam tempoh terdekat. peristiwa itu berlaku pada tahun 2011, dan kami kala itu hanya memiliki dua anak. dengan Kamila dan Khayra yang masih kecil, yang juga tidak mengerti makna "kematian". dan selepas itu, kami tidak pernah melalui pengalaman menghadap jenazah lagi.
 
sehinggalah tanggal 24 April 2016, uwan Hajah Saodah Daud, emak kepada ayah saya pergi meninggalkan dunia yang sarat goda. kala menerima berita itu, saya terpampan. ya, kematian. menghadapi kematian merupakan suatu pengalaman yang menggerunkan. memang ianya suatu kepastian, tanpa mengenal usia, pangkat dan darjat keturunan, pun sesungguhnya ianya pasti menginsafkan.
 
ya, untuk kesekian kali setelah bertahun-tahun lamanya tidak berdepan dengan kematian dalam kalangan ahli keluarga terdekat, pagi sabtu itu saya mengulangi peristiwa perpisahan. walaupun pada awalnya tidak setitik pun air mata yang tumpah kerana mengenangkan uwan juga sudah berusia dan sakit tua, pun saat mencium jenazah untuk kali terakhir, tetiba dada saya sebak. ya, kita berpisah dan tidak akan bertemu lagi di dunia fana ini. hanya doa yang dipanjat moga ada pertemuan di jannah nanti. Allahuakhbar.
 
kepulangan ke kampung abadi sesungguhnya peristiwa yang menyentuh hati. kepulangan ke kampung abadi begitu menguji iman dalam diri. kepulangan ke kampung abadi begitu membuatkan diri dekat pada Ilahi. kepulangan ke kampung abadi sesungguhnya menunjukkan manusia hanya khalifah kerdil di muka bumi. 
 
sementelah buku "Ziarah Ke Alam Barzakh", yang saya miliki sejak setia mendengar program "Mau Izzati" di corong radio IKIM saban Khamis begitu bergetar dalam sanubari. usia yang dikurnia, nikmat yang diberi merupakan perjalanan menuju kepada Rabul Izzati. dan ianya sesungguhnya cukup menginsafkan sebagai bekal menempuh sarat uji. 
 
moga kita semua pulang ke kampung abadi dalam fitrah yang suci!

Tuesday 22 March 2016

Ulang Tahun Kami

alhamdulillah.
23 Mac datang lagi. buat kesekian kali.
syukur yang tidak terperi. kerana Allah al-Razzak al-Wahhab masih memanjangkan usia kami.
setiapkali menjelangnya 23 Mac, pasti kenangan melahirkan anakanda Zahra Kamila yang paling diingati. hadiah yang paling bermakna dalam hidup apabila saya dan anak sulung dapat meraikan hari lahir secara bersama-sama sejak tahun 2007 lagi.
 
untuk tahun ini, walau dalam kesibukan menguruskan pelbagai tuntutan kerja di kampus, pun tarikh 23 Mac tetap bersemadi dalam nubari. tarikh istimewa buat kami.
 
salam hari lahir anakanda Zahra Kamila Zaidi. ibu mendoakan yang baik-baik sahaja buat anakanda dalam merempuh kehidupan yang sarat uji. moga anakanda menjadi insan berguna buat agama, bangsa dan nusa dalam didikan mulia sebagai muslimah, solehah dan mukminah sejati. 
 
23 Mac 2016, anakanda sulung mencecah usia 9 tahun, dan saya 43 tahun, maha suci Allah atas segala kurnia dan nikmat yang tidak terhitung, dan ia sesungguhnya begitu berharga dan bermakna dalam diri sebelum pulang bertemu Ilahi!